Sabtu, April 30, 2016

ADENAN PERLUKAN MANDAT BESAR UNTUK RUNDING AUTONOMI

KUCHING, 29 April (Bernama) -- Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menggesa semua rakyat Sarawak memberikannya mandat yang 'besar dan kukuh' pada pilihan raya negeri akan datang bagi merealisasikan semua inisiatif yang beliau rancang dan dilaksanakan untuk rakyat dan negeri itu.

Katanya beliau mahu 'mewakili seluruh Sarawak' apabila berunding dengan kerajaan Persekutuan mengenai perkara-perkara seperti autonomi dan perkongsian hasil minyak.

Dalam temu bual dengan Bernama TV di sini hari ini, beliau berkata mandat yang ada pada masa ini diturunkan kepadanya oleh bekas ketua menteri, Tun Abdul Taib Mahmud yang meletak jawatan selepas 33 tahun mentadbir negeri itu.

"Dua tahun tidak cukup untuk memenuhi janji-janji saya kepada rakyat. Jadi, saya fikir lima tahun lagi adalah munasabah. Sekarang, saya mahu mandat saya sendiri supaya boleh bertindak mengikut acuan saya," kata Adenan.

"Jika saya mempunyai mandat yang besar dan kuat, saya berani berdepan dengan KL dan berkata 'dengar sini, saya mewakili seluruh Sarawak'. Malah, jika saya mempunyai mandat yang sangat

lemah, mereka tidak ambil peduli untuk mendengar saya'," katanya.

Adenan juga berkata satu lagi sebab beliau memerlukan mandat yang besar adalah untuk memastikan Barisan Nasional (BN) kuat di Sarawak, sekali gus tidak menggalakan parti-parti politik dari semenanjung Malaysia daripada masuk dan mengembangkan pengaruh mereka di negeri ini.

Bagi UMNO, katanya, BN Sarawak telah memujuk parti itu supaya tidak masuk ke Sarawak.

"Saya bercakap dengan PM (Perdana Menteri) mengenai perkara ini dan mereka tidak berhasrat untuk membuka cawangan mereka di Sarawak. Mereka boleh membantu dalam pilihan raya tetapi tidak boleh menubuhkan cawangan tetap seperti DAP, PKR atau Amanah," kata Adenan.

Beliau berkata 'orang UMNO' fahamn bahawa mereka tidak perlu di Sarawak kerana Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) mempunyai objektif yang sama untuk memperjuangkan kepentingan kaum Bumiputera.

"Mungkin sudah ada UMNO di sini tetapi hanya nama adalah berzea," katanya.

Mengenai larangan terhadap beberapa pemimpin dan aktivis dari semenanjung Malaysia, Adenan berkata ia bagi mengelak kelompok fanatik, pelampau dan watak-watak yang tidak baik daripada memasuki negeri itu dan menimbulkan kekacauan semasa pilihan raya.

"Dalam pilihan raya sebelum ini, orang-orang seperti ini datang dan menimbulkan masalah. Jadi saya kata 'tidak'. Saya bukan sahaja mengharamkan pemimpin (tertentu) pembangkang tetapi juga (beberapa) orang UMNO," katanya sambil menolak dakwaan ia adalah untuk melemahkan pembangkang.

Beliau berkata rakyat tidak harus terpedaya dengan dakwaan pemimpin pembangkang bahawa mereka hanya mahu menafikan majoriti dua pertiga BN Sarawak.

Sebaliknya, katanya, 71 kerusi yang ditandingi oleh pembangkang kali ini jelas membuktikan mereka sebenarnya mahu membentuk kerajaan akan datang.

Adenan, yang menganggap menarik sokongan pengundi Cina di kawasan bandar sebagai cabaran utama dalam pilihan raya kali ini, berkata beliau memerhatikan terdapat beberapa pergerakan kembali ke BN sejak 2011.

"Mungkin kerana perubahan dalam kepimpinan...saya tidak tahu. Tetapi ada perubahan sikap yang jelas. Ini adalah persoalan sama ada ia memadai atau tidak kerana DAP menang dengan majoriti besar di banyak kerusi pada 2011," katanya.

Laporan berita terutama dalam portal propembangkang bahawa kempen pembangkang terus menerima sambutan dingin adalah satu petanda baik bagi BN, kata Adenan.

Beliau berkata masyarakat Cina perlu membuat pilihan sama ada mereka mahu berada dalam atau di luar kerajaan.

"Jika mereka mahu berada di luar kerajaan, mereka akan undi DAP. Jika mereka mahu sertai kerajaan, maka mereka mengundi calon keturunan Cina yang menggunakan simbol BN," katanya.

Katanya jika tiada calon Cina dari BN menang, maka kerajaan diwakili oleh Bumiputera dan Cina berada dalam pembangkang.

"Ini akan timbul satu keadaan yang tidak sihat," katanya.

-- BERNAMA