Ahad, April 24, 2016

ADENAN PEMIMPIN YANG KURANG BERCAKAP

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem kini lebih dikenali sebagai pemimpin yang kurang bercakap tetapi berjaya melaksanakan banyak usaha dalam tempoh hanya dua tahun memimpin negeri itu.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pembangkang yang bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini menabur janji untuk membawa pembaharuan sekiranya menang tetapi Adenan tidak membuat sebarang janji ke arah itu.

"Beliau telah membuktikan bahawa beliau mampu membawa pembaharuan, malah memperkenalkan perubahan dalam tempoh hanya dua tahun mentadbir negeri itu.

"Pada akhirnya, kita akan tahu dalam masa dua minggu ini sama ada rakyat berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh Adenan untuk Sarawak," kata beliau dalam blognya 'sskeruak.blogspot.my' hari ini.

Menurutnya, satu langkah berani yang dilakukan oleh Adenan adalah mengumumkan bahawa masyarakat Cina dari Sarawak bukan pendatang tetapi anak Sarawak yang merupakan isu 'duri dalam daging' dalam politik di semenanjung.

Salleh berkata Adenan juga mengumumkan bahawa beliau mahu meningkatkan martabat rakyat Bumi Kenyalang dengan mengkategorikan setiap etnik mengikut kumpulan penduduk pribumi dan bukan menggabungkan semua di bawah kategori 'lain-lain'.

Adenan juga memansuhkan kutipan cukai tanah dan memperjuangkan kesaksamaan kaum wanita dengan mencadangkan lebih banyak calon wanita dan menyalurkan peruntukan RM5 juta kepada sekolah-sekolah Cina yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada dana daripada penderma yang murah hati dan dermawan, katanya.

"Bagi menyelesaikan masalah graduan yang menganggur, Adenan melancarkan program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak (GETS). Kesemua ini hanya dalam masa dua tahun yang singkat," katanya.

Beliau berkata rakyat Sarawak tertanya-tanya apa lagi Adenan boleh melakukan dan apa lebih lagi boleh beliau melaksanakan jika diberi mandat lima tahun dan perkara itu menjadi bualan ramai.

Katanya, ke arah mencapai kejayaan, Adenan memahami bahawa beliau perlu memenangi hati dan minda rakyat.

"Inilah apa yang dilakukan oleh Adenan dan ia akan diteruskan...lebih-lebih lagi pembangkang tidak lagi bercakap mengenai soal mengambil alih negeri itu tetapi hanya mahu menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak," katanya.

Salleh berkata walaupun hanya dua tahun, Adenan bukan sahaja meletakkan asas yang kukuh tetapi juga mampu menunjukkan hasil dan ini merupakan pencapaian yang cemerlang berdasarkan mana-mana standard.

"Bagi tujuan dan maksud ini, ia menjadikan pilihan raya negeri Sarawak 2016 sesuatu yang bersejarah. Keputusan pilihan raya ini bergantung sepenuhnya terhadap penilaian pengundi terhadap prestasi Adenan sejak dua tahun lepas, sama ada mereka cukup yakin untuk memberi mandat lima tahun lagi kepada pemimpin itu.

"Maklum balas di lapangan menunjukkan bahawa majoriti rakyat Sarawak berpuas hati dengan apa yang mereka lihat sepanjang dua tahun lalu," katanya.

-- BERNAMA