Memang betul kata Ketua Penerangan Umno Malaysia, Anuar Musa bahawa jika di zaman Dr Mahathir Mohamad sudah lama Muhyiddin Yasin dipecat dari Umno. Nampaknya Najib lebih toleran terhadap timbalannya walaupun beliau terus mengkritik Najib.
Dr Mahathir tak suka orang yang membangkang ideanya. Apabila Hussein Onn memanggil Dr Mahathir dan Ku Li pada tahun 1981, Hussein tanya Dr Mahathir adakah beliau boleh bekerja dengan Ku Li, Mahathir jawab ya. Sebaliknya Mahathir menaja Musa Hitam untuk menentang Ku Li untuk jawatan timbalan presiden Umno kerana Dr Mahathir tahu bahawa Ku Li bukan yes man.
Dr Mahathir mahu yes man macam Musa, maka Musa menang dalam pertandingan tahun 1981 itu. Musa akhirnya tidak tahan dengan Dr Mahathir dan meletakkan jawatan sebagai TPM. Mahathir suka timbalan baharunya Ghafar Baba kerana Ghafar seorang yes man.
Sebaliknya Anwar Ibrahim disingkirkan Dr Mahathir apabila Anwar enggan mematuhi arahan beliau untuk bail out syarikat kapal anaknya. Maka yes man macam Pak Lah menggantikan Anwar selepas Anwar dipecat dari Umno.
Sebab itu jika Muhyiddin buat hal di zaman Dr Mahathir, sudah lama Muhyiddin dibuang dari kabinet. Sepatutnya Muhyiddin bersyukur di zaman Najib, Najib tidak sezalim Dr Mahathir. Malah dalam kes Mukhriz, Najib masih menawarkan jawatan timbalan menteri kepada Mukhriz tetapi Mukhriz enggan menerimanya. Najib tidak zalim walaupun Mukhriz kata Najib bengap dalam perjumpaan di Saloma Bistro.
Paling terbaharu Najib melantik Sabaruddin Chik sebagai Pengerusi Amanah Raya Berhad walaupun apa yang Sabaruddin tidak kata kepada Najib apabila beliau dipecat oleh Hassan Malek sebagai Pengerusi Bank Rakyat. Najib tetap berjiwa besar melantik orang yang menghentam isterinya dalam kes Bank Rakyat itu.
Tetapi kalau di zaman Dr Mahathir jangan harap benda macam ini berlaku. Mahathir mahu yes man. Bila Pak Lah selaku PM tidak ikut cakapnya Dr Mahathir keluar dari Umno dan menghentam Pak Lah. Bila Najib tidak melayan permintaan Dr Mahathir, maka beliau menghentam Najib. Itulah Mahathir yang mahu orang ikut cakap dia sahaja.
Saya masih ingat apabila boss Watan, arwah Fickry dipanggil Dr Mahathir ke pejabatnya, bukan main seronok arwah. Rupanya Dr Mahathir marahi boss dalam pertemuan 10 minit itu dan langsung Dr Mahathir tidak mempelawa boss duduk kerana Watan menyiarkan gossip Dr Mahathir sakit. Itulah Dr Mahathir yang tidak suka baca berita negatif tentang dirinya. Jadi apa yang Anuar Musa kata tentang Dr Mahathir memang betul.