Selasa, Februari 09, 2016

GAJI PEKERJA ASING WAJAR DIKENAKAN CUKAI PENDAPATAN



Keputusan kerajaan untuk menyusun semula sistem kadar levi untuk pekerja asing kepada dua kategori sahaja dijangka memberi pendapatan tambahan RM2.5 bilion kepada negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kadar baharu itu akan berkuat kuasa mulai  1 Febuari lalu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS), satu-satunya universiti di tengah Sarawak yang merupakan sebahagian program lawatan dua hari beliau ke Sarawak baru baru ini.

Beliau berkata sebelum ini, pekerja asing dikenakan kadar berbeza berdasarkan kepada sektor-sektor di mana mereka bekerja seperti pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian.

“Sekarang hanya ada dua kategori. Pertama adalah untuk mereka yang berada di sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan. Di sini setiap pekerja akan dikenakan kadar baharu RM2,500.

“Bagi mereka yang bekerja di sektor ladang dan pertanian yang terletak di bawah kategori kedua, kadar tersebut adalah RM1,500 bagi setiap pekerja,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, pekerja domestik dikecualikan. Menurut statistik, beliau berkata kini terdapat kira-kira 2.135 juta pekerja asing yang berdaftar.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 telah menyentuh mengenai penyusunan semula ini.

“Ini adalah selaras dengan perkembangan dalam senario ekonomi negara dan di peringkat antarabangsa, “katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu tampil dengan kadar baharu memandangkan pekerja asing juga menikmati pelbagai faedah seperti harga subsidi makanan dan keperluan lain yang semata-mata untuk rakyat negara ini.

“Mereka juga menikmati infrastruktur yang baik yang disediakan kerajaan, tapi kita juga mengiktiraf peranan penting mereka dalam pembangunan negara dan ekonomi kita, “katanya.

Namun demikian Dr Zahid berkata KDN akan mengadakan pertemuan dengan majikan selepas perayaan Chap Goh Meh yang membantah kenaikan harga levi itu. Mereka tidak bersetuju harga levi yang dikenakan terlalu tinggi.

Berdasarkan harga baru levi sebanyak RM2.500 yang memberi pendapatan tambahan sebanyak RM2.5 billion  sepatutnya kerajaan mengenakan cukai pendapatan kepada setiap gaji tahunan pekerja asing. Terpulang kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menetapkan kadar potongan cukai kerana 2.35 juta pekerja asing membawa  pulang sebanyak RM71.76 bilion ke negara masing masing.

Sudah sampai masanya kerajaan meminda akta buruh di parlimen supaya pekerja asing turut dikenakan cukai pendapatan. Bayangkan setiap pekerja asing diberi gaji sebanyak RM2,600 sebulan. Ini bermakna jumlah  gaji setahun setiap pekerja asing adalah sebanyak RM31,200.00

RM31,200 darab 2.3 juta pekerja asing maknanya mereka mendapat RM71.76 billion  tolak dengan hasil negara RM2.5 billion maknanya mereka membawa pulang sebanyak RM69.26 billion. Alangkah ruginya negara kita tidak mengenakan cukai di atas RM69.26 billion itu.

Kalau kenakan cukai pendapatan sebanyak 10 peratus pun, hasil pendapatan negara bertambah RM6.9 billion. Bukan sahaja kita rugi dari segi tidak mengenakan cukai pendapatan kepada mereka, malah mereka yang untung kerana menikmati subsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja. Pekerja asing beli gula, beras, minyak masak dengan harga yang sama dengan harga subsidi yang dinikmati rakyat Malaysia.

Perkiraan ini berdasarkan kepada pekerja asing yang berdaftar. Bagi PATI yang tidak berdaftar lebih banyak lagi mereka membawa pulang wang ke negara mereka. Sebab itu sudah sampai masanya bagi kerajaan menilai cadangan ini. Mungkin cara ini boleh mengurangkan kemasukan pekerja asing selepas ini tetapi sekurang-kurangnya negara dapat hasil dari titik peluh mereka.