Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) Melaka kesal dengan penganjuran pertandingan Miss Tourism 2015/16 di Melaka baru-baru ini yang disifatkan bertentangan syariat Islam dan adab ketimuran.
"Jelas sekali pertandingan Miss Tourism ini haram di sisi Islam kerana pakaian yang menjolok mata, tidak sopan dan hadirin pula terdiri dari kaum lelaki dan wanita.
"Lebih malang lagi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sendiri turut hadir memeriahkan acara tersebut," kata ketuanya Mahani Othman Basir.
Menurut Mahani, kerajaan Melaka sebelum ini dilihat banyak menganjurkan aktiviti agama seperti majlis 'Melaka Berselawat' tetapi ia masih tidak memberi keinsafan kepada pimpinan negeri apabila membenarkan program maksiat diadakan di negeri itu.
"Malah mereka sendiri hadir memberikan sokongan padu kepada program maksiat sebegini.
"Kami sebagai kaum wanita berasa terhina kerana jelas sekali program ini mengeksploitasi wanita dengan mempamerkan bentuk badan dan aurat mereka kepada kaum lelaki," katanya.
Sehubungan itu pihaknya mendesak kerajaan negeri Melaka memohon maaf khususnya kepada semua wanita di negeri itu kerana menggalakkan program sumpama itu.
"Kami tidak rela anak-anak muda di negeri ini terjebak dengan program-program lalai dan tidak bermanfaat malah haram di sisi Islam.
"Apa perasaan kita jika anak-anak kita sendiri mendedahkan sebahagian badan mereka kepada kaum lelaki seperti yang berlaku dalam program ini?," soal Mahani.
Selain itu, katanya, pihaknya juga kesal kerana program maksiat seperti ini terus diadakan atas alasan untuk menarik pelancong datang ke Melaka.
"Apakah kerajaan negeri sanggup menggadaikan nilai-nilai agama dan adab ketimuran dengan menghalalkan program Miss Tourism ini hanya kerana alasan dangkal untuk menggalakkan pelancongan.
"Sudah keringkah idea mereka untuk mengalakkan pelancongan sehingga sanggup memperjudikan hukum agama dan adab-adab ketimuran kita," soalnya.
Ulasan saya, adakah kenyataan Amanah ini direstui oleh rakan kongsinya DAP dan PKR? Selama ini DAP marahi PAS kerana mahu laksanakan hukum hudud tetapi kenyataan Amanah ini sudah tentu menimbulkan kemarahan DAP yang tidak suka lihat Amanah terlalu ekstrim.
Kalau begini gayanya maka nampaknya Pakatan Harapan tidak kekal lama apabila ada ahli Amanah ekstrim macam orang PAS pula.
Sehingga ini DAP belum jawab kenyataan Ketua Wanita Amanah Melaka kerana jika DAP jawab secara terbuka sudah tentu akan meretakkan Pakatan Harapan yang baru diisytihar Sabtu lalu.