Oleh
Shahbudin Embun
(dipetik dari Berita Harian)
Perbualan dan perbincangan tentang
khabar-khabar angin memang menyeronokkan. Ketika inilah timbul pelbagai teori
dan andaian yang dikemukakan oleh mereka yang berborak dan berbincang tentang isu-isu
yang bermula dari khabar angin.
Di Malaysia ini kebiasaannya, sesuatu
yang sensasi itu bermula dengan khabar angina atau disebut juga sebagai gosip.
Kebanyakannya menjadi kisah yang benar dan tidak kurang juga ada khabar angin yang terus menjadi sesuatu
yang senyap. Penafian pula sudah mula tidak dipercayai dan hanya merupakan
usaha untuk melengahkan berita atau perkhabaran yang sebenarnya sahih.
Antara khabar angin yang sering bertiup
kencang sekarang ialah adakah tindakan displin akan dikenakan ke atas Timbalan
Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebenarnya ini bukanlah satu isu yang
baru. Saya pernah menulis tentang isu ini , sebaik sahaja Muhyiddin Yasin
disingkir dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Khabar angin ini timbul berikutan gara-gara
kelantangan beliau menyuarakan pandangan dalam pelbagai isu yang dikatakan
boleh memecahkan perpaduan dalam UMNO. Bahkan ada pula di kalangan ahli UMNO
yang mahukan Muhyiddin dihalang dari merasmikan Perhimpunan Agung Sayap semasa
Perhimpunan Agung Umno pada Disember ini.Betulkah ini hanya sekadar khabar
angin?
Menerusi perbualan saya dengan beberapa
rakan , ramai yang tidak percaya akan khabar angin tersebut dan mereka
berpendapat, kisah-kisah ini sengaja dilemparkan untuk menghalang usaha
memperkukuhkan parti.Ada yang mahukan Muhyiddin terus dikekalkan dan menunggu
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuka
langkah mencabar beliau .
Namun begitu ada juga yang merasakan
tidak akan bergoncang daun, jika tiada angin yang meniup.Golongan yang percaya
pada khabar angin ini merasakan yang UMNO akan lebih kuat tanpa Muhyiddin.
Itu sebabnya ada juga yang mahukan
khabar angin ini menjadi kenyataan kerana kritikan Muhyiddin terhadap Presiden
UMNO merupakan tindakan yang amat bertentangan dengan kedudukan beliau sebagai
orang nombor dua parti. Apatah lagi rasa tidak puas hati Muhyiddin itu
diluahkan ketika berada di majlis yang bukan dalam platform UMNO.Bukannya tidak
boleh menyatakan pandangan tetapi
kebebasan bersuara itu perlu
dinyatakan dengan menggunakan saluran yang betul.
Golongan yang percaya akan khabar angin
ini merasakan yang Muhyiddin perlu
menjaga maruah parti kerana ini adalah masalah rumahtangga dan tidak perlu
diberitahu kepada seluruh dunia. Adakah khabar angin seperti ini akan menjadi
kenyataan? Buat masa ini, statusnya masih kekal sebagai sesuatu yang tidak
pasti dan boleh dikategorikan sebagai khabar angin sahaja.
Dalam hal ini saya amat bersetuju dengan
kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang
menjelaskan bahawa ahli Umno perlu terus memberi sokongan dan menghormati pucuk
pimpinan sekiranya mahukan parti terus utuh. Apa yang dimaksudkan oleh Zahid
begitu jelas sekali. UMNO tidak boleh berkompromi dalam soal perpaduan kerana
itulah antara elemen yang akan menguatkan parti dan sepatutnya tidak boleh
dipertikaikan lagi.
Masalah yang berkaitan dengan Muhyiddin
dikaitkan juga dengan isu “7 dalang” dalam UMNO. Siasatan telah dijalankan ke
atas “7 dalang UMNO” da nada khabar angin yang menyatakan bahawa tindakan akan
diambil ke atas mereka.
Bagi yang percaya akan khabar angin ini
tentunya bersetuju jika tindakan displin diambil kepada mereka yang cuba
merosakkan parti. Golongan ini merasakan 7 dalang ini seperti gunting dalam
lipatan atau duri dalam daging.Selagi mereka berada dalam UMNO, selagi itu UMNO
akan dilemahkan melalui tindakan “7 dalang “ ini. Walaupun isu ini agak reda
seketika, namun jangan terkejut jika gossip yang berkaitan dengan perkara ini
menjadi satu isu yang besar.Kita nantikan adakah khabar angin akan berubah
menjadi sesuatu yang sensasi.
Satu lagi khabar angin yang bertiup
kencang ialah tentang hubungan antara PAS dan UMNO. Ramai yang menganggap
kedua-dua pihak tidak lagi bermusuh seperti dahulu dan terdapat kemungkinan
satu persepakatan akan muncul . Bahkan bukanlah sesuatu yang menghairankan jika PAS akan bekerjasama dengan UMNO dalam
pilihan raya umum akan datang.
Sebenarnya ini bukanlah satu isu baru dan
telah lama diperkatakan, apatah lagi PAS tidak berada dalam Pakatan
Harapan.Bukan itu sahaja, kenyataan dari pelbagai pihak menunjukkan yang PAS
sudah tidak mahu untuk menjalin sebarang hubungan dengan Pakatan Harapan. Hadi
pernah menjelaskan beberapa kali yang parti pimpinan beliau itu bukan sahaja
boleh berdiri sendiri malah sudah lama bersendiri.Dalam erti kata lain, PAS
tidak memerlukan Pakatan Harapan.
Untuk menghangatkan lagi keadaan, sejak
kebelakangan ini juga terdapat banyak kenyataan terutamanya dari para pemimpin
PAS yang boleh membawa maksud untuk
bekerjasama dengan UMNO, walaupun para pemimpin parti itu terus menyangkal dan
menegaskan yang PAS tidak akan sekali kali berganding bahu dengan UMNO.
PAS dengan tegas menjelaskan yang parti itu
hanya bersedia menjalin kerjasama dalam perkara yang membawa kebaikan dan
kebajikan kepada rakyat dan bukannya untuk membentuk kerajaan perpaduan. Namun
ianya tidak boleh menolak sebarang spekulasi dari orang ramai yang merasakan
hubungan antara PAS dan UMNO mula menampakkan bibit bibit kemesraan.
Sebagaimana yang dijealskan, ada kemungkinan juga, segala penafian yang
dilakukan itu hanya merupakan langkah formaliti untuk menjaga hati para
penyokong kedua-dua belah phak.
Spekulasi tentang isu ini semakin hangat
diperkatakan apabila baru-baru ini Haji
Hadi menjelaskan yang PAS membuat
keputusan berkecuali dalam cadangan penolakan usul Bajet 2016 dan telah
dipersetujui sebulat suara oleh kesemua ahli Parlimen PAS.
Sebelum itu,PAS dikatakan bersedia untuk
menjadi penasihat kerajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya kerajaan pimpinan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bersedia untuk mengubah dasar
pentadbirannya.
Hadi menjelaskan lagi bahawa perjuangan
parti Islam itu kini adalah untuk mengubah dasar pentadbiran dan bukan
semata-mata mahu merebut jawatan atau tampok kepimpinan negara.Walaupun telah diperjelaskan
oleh Hadi, namun masih tidak cukup untuk menghalang orang ramai dari membuat
andaian bahawa PAS dan UMNO akan bergabung juga dalamasa terdekat ini. Sebarang
kemungkinan boleh berlaku.
Buat masa ini kita semua boleh membuat
pelbagai andaian dan teori. Lagipun semua isu yang dibincangkan hanya merupakan
khabar angin
atau gossip sahaja. Hanya masa yang menentukan sejauh mana
isu-isu ini yang menjadi kenyataan dan mana yang hanya sekadar terus menjadi
khabar angin sahaja.
Shahbudin Embun
Ahli Majlis Perundingan
Melayu Malaysia/ Blogger Lawyer Pokok Cherry.
(Penulis Buku NAJIB
PENERAJU TRANSFORMASI)