Seiring dengan pendekatan Transformasi Terengganu Baharu (TTB), karnival yang diadakan di Dataran Merdeka dan Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bertujuan mempromosikan pelbagai tarikan negeri berkenaan dalam pelbagai bidang termasuk seni budaya dan warisan, kekayaan sumber alam serta pelaburan perniagaan.

Menerusi pendekatan itu, produk-produk keluaran kira-kira 100 usahawan anak negeri termasuk dalam industri kraf diketengahkan, sekaligus membuka ruang niaga mereka ke peringkat antarabangsa.

Pelbagai program telah diatur menerusi lapan segmen seperti TTB, keusahawanan, pelancongan, pendidikan dan sains, ekonomi dan pelaburan, kebudayaan dan kesenian, pertanian, sumber manusia dan sukan.

Antara tarikan karnival itu adalah persembahan ketuk hulu, kebudayaan, forum perdana hal ehwal Islam, lelongan mega, permainan tradisional, demonstrasi masakan oleh dua cef terkenal, Cef Zam dan Chef Haneliza.

Karnival Pesona Terengganu 2015 turut dimeriahkan dengan persembahan penggiat seni yang merupakan anak jati negeri itu dalam pelbagai bidang termasuk segmen Simfoni Penyair Timur sebagai penghargaan kepada penyair, J.M Aziz.


Program di Dataran Merdeka akan berlangsung dari 29 hingga 31 Oktober bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam, sementara program Terengganu Kitchen yang diadakan di Dataran DBKL yang mengetengahkan pelbagai produk makanan tradisional negeri itu akan berakhir 2 November ini.