Jumaat, September 11, 2015

KENYATAAN AZMIN BUKTI PARTI AMANAH NEGARA TIADA PENGARUH

Timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali semalam menegaskan sekali lagi, kenyataannya yang menyokong penyertaan PAS ke dalam Pakatan Rakyat yang baharu bukan merupakan pandangan peribadinya.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam, menteri besar Selangor itu berkata, kenyataan itu berdasarkan pendirian yang diambil parti secara kolektif.
"Guan Eng sahabat lama kita. Dan DAP bersama dengan PKR dalam melakukan perubahan dalam negara. Sudah tentulah sumbangan DAP bagi kita merupakan penting dalam membawa perubahan.
"Apa yang dijelaskan ialah, kenyataan itu bukan kenyataan peribadi saya. Itu pendirian parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program "Beyond 3R: A More Sustainable Solution For Selangor Waste Management" di Shah Alam semalam.
Kelmarin, Lim menuntut Azmin menjelaskan kepada penyokong parti pembangkang mengapa pihaknya memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS walaupun ia tidak dipersetujui DAP yang merupakan sekutu mereka.
Beliau juga tidak bercadang berjumpa dengan mana-mana pimpinan DAP kerana menyerang kenyataannya itu.
"Saya menerima baik dan menerimanya dengan hati terbuka. Saya terimanya dan kami adalah rakan seperjuangan. Kami sudah bersama selama bertahun-tahun.
"Menjadi rakan seperjuangan dalam membantu melakukan perubahan kepada rakyat dan sistem. Guan Eng umpama adik-beradik saya dan kami boleh bekerjasama," katanya.
Katanya, perkara itu juga sudah dijelaskan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Chua Tian Chang.
Beliau juga berharap agar semua pihak memahami dan menghargai kesulitan dalam berunding dengan rakan seperjuangan pakatan seperti itu.
"Tidak mudah. Tetapi ini tidak melemahkan semangat kita. Cuma, mengapa kata itu pendirian saya? (Sebaliknya,) Ini pendirian PKR," katanya.
Lim kelmarin meminta Azmin menjelaskan kepada penyokong parti pembangkang mengapa pihaknya memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS.
Katanya, Azmin dan PKR mungkin mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian, tetapi ia harus menerangkan kepada penyokong mereka mengenai keputusan untuk bekerjasama dengan parti Islam itu yang sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP. 
Kenyataan Azmin itu bukti PKR tidak berharap kepada parti baru, Parti Amanah Negara (Amanah yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden PAS,Mohamad Sabu.

Amanah tidak ada pengaruh dan PKR nampak kehadiran Amanah pada PRU akan datang tidak akan membantu Pakatan Rakyat. Sehubungan dengan itu PKR masih memerlukan PAS kerana pengaruhnya terlalu kuat di akar umbi.

Amanah hanya mendapat sambutan dari golongan muda dan tidak maustahil Amanah tidak dapat sebarang kerusi dalam PRU akan datang kerana sejarah membuktikan bahawa parti serpihan PAS seperti Berjasa, Hamim akan hanyut ditelan masa.

Jadi tidak mustahil nasib Amanah akan sama seperti nasib Hamim dan Berjasa. Sehubungan dengan itu, PKR amat memerlukan PAS dalam menghadapi PRU akan datang. Sejarah PRU 1999, 2004, 2008 dan 2013 menunjukkan bahawa calon PKR menang kerana bantuan jentera pilihanraya PAS. Jentera pilihanraya PKR amat lemah. Kemenangan kerusi PKR ditunjangi oleh jentera pilihanraya PAS.Jadi jika PAS tidak ada dalam Pakatan Rakyat, bukan sahaja kerusi Amanah akan hanyut malah kerusi PKR turut hanyut.
Kemunculan Amanah
akan menguntungkan DAP dan BN sahaja. Sebab itu dalam suasana DAP tidak mahu PAS berada dalam Pakatan Rakyat, PAS mahu bertanding secara solo kerana sejarah sudah membuktikan bahawa PAS sudah lama diterima rakyat akar umbi sejak PRU 1955 lagi.