Selasa, September 29, 2015

ANIFAH KESAL DENGAN KENYATAAN NAZRI

Duta Besar China, Dr Huang Huikang dipanggil ke Wisma Putra bertujuan meminta beliau mengesahkan sama ada kenyataannya yang dikeluarkan semasa lawatan ke Jalan Petaling baru-baru ini telah disalah tafsir, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah yang kini berada di New York dalam satu kenyataan semalam berkata, perkara memanggil duta merupakan amalan biasa.

"Ini selaras dengan Artikel 41, Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961," katanya.

"Wisma Putra telah membuat perkara yang sama dengan Duta Amerika Syarikat, Duta Vatican dan Duta Singapura pada masa lalu," kata beliau.

Anifah menjelaskan, sebagai sebuah negara berdaulat Malaysia juga perlu menyampaikan pendiriannya kepada China dengan jelas.

"Dalam perkara ini setelah berbincang dengan Perdana Menteri, saya membuat keputusan untuk memanggil Duta China untuk hadir ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan," katanya.

Tambahnya, beliau berpandangan isu tersebut tidak perlu dibawa ke peringkat menteri kerana sebagai amalan biasa ia ditangani di peringkat pegawai kanan Wisma Putra sahaja.

Pada masa yang sama, Anifah melahirkan rasa dukacita kerana beberapa menteri Kabinet mengambil beberapa tindakan dan membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.

"Untuk makluman, saya tidak pernah sekali pun membatalkan arahan saya memanggil Duta China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan beliau," katanya.

Jelas Anifah, perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan menteri-menteri lain.

"Sebaliknya, campur tangan mereka (menteri-menteri lain) telah memberikan persepsi yang negatif di kaca mata orang ramai.

"Saya berharap perkara sebegini tidak akan berulang," tambah beliau.

Semalam, Duta China itu mengadakan pertemuan dengan Pemangku Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini.

Semalam Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz menegur Timbalan Menteri Luar, Reezal Merican dengan mengatakan Reezal tidak ada hak untuk memanggil Duta China ke Wisma Putra.

Tindakan Nazri bukan sahaja memalukan kerajaan tetapi seolah-olah beliau mahu mengajar Reezal yang baru berada dalam kerajaan.

Pada hemat saya, sudah sampai masanya bagi PM menggugurkan Nazri dari kabinet beliau kerana beliau mencampuri urusan kementerian lain.

Jika benar Reezal bersalah, beliau hendaklah menegur secara tertutup dan bukannya mencari publisiti murahan melalui media.

Baru-baru ini beliau bertelagah dengan Tengku Mahkota Johor yang menyebabkan PM terpaksa menghadap Sultan Johor.

Mengekalkan Nazri dalam kabinet bukannya menguntungkan kerajaan. Oleh itu Najib Razak perlu gugurkan beliau dari kabinet. Nazri bukannya ahli majlis tertinggi Umno yang menang. Beliau hanya dilantik Najib selama dua penggal. Oleh kerana bimbang kalah, maka beliau tidak berani bertanding kerusi ahli majlis tertinggi Umno.