Inisiatif penulis buku terkenal, Syed Husin Alattas atau Pak Habib mengumpulkan penulis buku politik di kediamannya di Janda Baik, Pahang wajar diberi pujian. Oleh kerana perhimpunan Bersih 4 sedang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur maka ramai penulis buku politik yang tidak dapat hadir.
Sayuti Omar yang juga setiausaha Kelab Penulis Buku Politik dan Shahbuddin Husin pengkritik tegar Najib Razak tidak hadir kerana menghadiri perhimpunan Bersih 4. Mujur mereka berdua tidak datang kerana jika mereka datang, sudah tentu mereka tidak setuju dengan resolusi yang dicapai di Janda Baik petang ini mempertahankan Umno demi kepentingan bangsa Melayu.
Kata Pak Habib, penulis perlu mempertahankan Umno setelah melihat majoriti bukan Melayu yang menghadiri perhimpunan Bersih 4 mahu menumbangkan kerajaan Melayu. Umno bukannya lahir di istana Johor tetapi lahir di kampungnya di Wadi Hana, Johor Baru dan diangkat ke istana menjadikan Umno sebagai wadah yang banyak berjasa kepada orang Melayu.
Menurut Pak habib yang sudah menghasilkan 67 buah buku, majlis itu juga mengumpulkan blogger muda dan berharap mereka dapat menghasilkan buku. Seorang blogger terkenal Azmi Ibrahim berhasrat untuk menghasilkan buku juga selepas ini.
Dorongan yang diberikan oleh Pak Habib membuatkan Azmi bercadang mengikut jejak langkah Pak Habib. Selain Pak Habib, yang pernah menulis buku politik yang hadir petang tadi ialah Musli Oli dan saya sendiri.
Musli telah menulis 14 buah buku mengakui pernah jadi stringer akhbar Watan ketika saya bertugas sebagai wakil akhbar Watan di Sabah dari tahun 1989-1991. beliau merupakan seorang penulis buku politik yang berjaya dari Sabah.
Manakala saya telah menulis 10 buah buku iaitu Sempatkah Ghafar Jadi PM (1992), Dilema Yusof Noor (1993), Wan Mokhtar: Pemimpin Empat Zaman (1994), Hulu Terengganu Menuju Keemasan (1996), Antara Najib, Muhammad dan Muhyiddin: Pak Lah Pilih Siapa (2003), Kenapa Pak Lah Pilih Najib (2004), Sentuhan Pak Lah (2004), Politik Wang:Isa Jadi Mangsa (2005), Toyol Untuk Disewa (2014) dan Era Transformasi Kg Ayer Molek (2014).
Setelah berhenti dari Free Malaysia Today (FMT) pada Julai 2014, saya menumpukan sepenuh masa menulis isu semasa dalam blog saya www.catatanzabidi.blogspot.com yang saya update posting setiap hari. Sebagai blogger politik, pembaca saya tidak ramai sekitar 500 orang setiap hari. Blog saya tidak sepopular blog Shahbudin Husin yang merupakan wartawan saya ketika di akhbar Watan dahulu.
Saya berkongsi pengalaman dengan blogger muda yang hadir di majlis itu bahawa saya pernah dimaki oleh Ketua Pemuda Umno Marang, Rahman Bakar yang marahi saya menulis buku Dilema Yusof Noor. Selepas itu kami jadi kawan baik. Dr Yusof Noor yang saya temui di majlis open house Ibrahim Ali baru-baru ini masih ingat dengan buku tersebut.
Ada yang mahu menjadi calon BN dalam PRU 2004 membawa ke sana sini buku saya yang menyebut namanya sebagai calon parlimen. Sampai naik loyeng buku itu dalam poket seluarnya. Pendek kata sebagai penulis buku politik, saya menjadi tempat rujukan bakal calon. Ketika bertugas sebagai editor akhbar Warta Parlimen Kepala Batas (yang mana PM, Pak Lah adalah penaungnya) dua pupu saya, arwah Othman Awang setiap hari call saya, tanya lekat tak namanya sebagai calon BN Wakaf Mempelam pada PRU 2008. Seronoknya beliau bila parti memilihnya sebagai calon.
Ketika saya menjadi editor Bahasa Melayu di FMT, saya dicari oleh orang Ahmad Said kerana banyak tulisan saya dalam FMT menyebabkan Ahmad Said jatuh dari jawatan MB Terengganu. Saya tidak berani balik kampung kerana orang Ahmad Said mahu memukul saya.Itulah pengalaman pahit manis sebagai wartawan, penulis buku politik dan blogger politik.
Pak Habib merupakan idola saya. Ketika saya berhenti bekerja sebagai penolong pengarah FELCRA pada tahun 1986, saya menjual bukunya MUSA DERHAKA. Ketika saya turun dari tangga pejabat Pak Habib di Jalan Medan Tuanku ketika itu, Shahidan Kasim yang bekerja sebagai PTD di Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah naik tangga untuk menemui Pak habib. Saya rapat dengan Shahidan ketika itu kerana sering terlibat sebagai urusetia kursus yang dijalankan oleh kementerian yang beliau kendalikannya. Pada tahun 1986, beliau dipilih menjadi calon parlimen BN di Arau, Perlis.
Selepas berhenti bekerja dengan FELCRA, terpengaruh dengan buku Pak Habib, saya tanam semangat untuk menulis buku politik juga dan saya berazam mahu jadi terkenal seperti Pak Habib. Tapi saya bukan penulis yang hebat seperti Pak habib, Pengalaman menerbitkan buku sendiri amat menyeksakan. Hantar buku ke kedai mamak, tiga bulan kemudian bila nak kutip duit buku, kedai sudah ditutup kerana taukehnya sudah balik ke India ketika menjual buku Politik Wang: Isa Jadi Mangsa? di Teluk Kemang.
Saya terharu dengan sikap Pak habib yang sanggup datang dari Kuala Lumpur ke Kerteh melancarkan buku saya Antara Najib, Muhammad dan Muhyiddin: Pak Lah Pilih Siapa? pada tahun 2002 di sebuah hotel di Kerteh, Kemaman. beliau tidak mahu menerima duit minyak saya beri. Saya kagum dengan cara beliau menonjolkan penulis baharu seperti saya.
Seperti kata saya tadi, pengalaman menerbitkan buku sendiri amat menyeksakan. Sebab itu saya tidak menulis buku selama sembilan tahun. Tahun lepas saya muncul dengan buku Toyol Untuk Disewa. Buku ini amat laku di pasaran kerana rupanya orang melayu lebih suka baca buku misteri daripada buku politik. Melihat kehebatan Pak habib menulis 67 buah buku, saya rasa tahun ini akan kembali menulis buku politik sementara menunggu siapnya autobiografi saya DARI WARTAWAN KE JUTAWAN pada tahun hadapan.
Seperti kata Pak habib, bukan senang mahu menjadi penulis buku. Bila saya mati sekurang-kurangnya ada tercatat dalam sejarah bahawa saya pernah menulis 10 buah buku dalam hidup saya. Malah buku saya Wan Mokhtar: Pemimpin Empat Zaman dijadikan bahan rujukan pelajar UKM membuat latihan ilmiah.
Pak habib, Sayuti Omar, Musli Oli, Shahbudin Husin dan saya semakin tua, maka generasi muda yang hadiri majlis pak habib di Janda baik petang tadi yang wajar meneruskan perjuangan menulis buku-buku politik di masa akan datang. Mereka adalah blogger politik. Mulakan dengan langkah pertama membukukan tulisan-tulisan dalam blog sendiri.Langkah ini pun dibuat oleh Dr Mahathir Mohamad dan Kadir jasin.Maka kalian, blogger muda, wajar menerima cabaran Pak habib untuk menulis buku sekurang-kurang sebuah pada tahun ini.