Sabtu, Ogos 01, 2015

MUHYIDDIN UNDUR SECARA HORMAT?


Oleh Shahbudin Haji Embun

(dipetik dari Berita Harian, 29 Julai 2015)

Tarikh 31hb Julai 2015 akan berlangsungnya mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi UMNO dan pastinya mesyuarat ini  akan menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia. Adakah bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan hadir sebagai Timbalan Presiden UMNO dan apakah akan berlaku lagi kejutan atau kenyataan yang akan menjadi berita muka depan akhbar keesokan harinya.
Kita tinggalkan sekejap persoalan ini. Semasa masih lagi menjadi pemimpin Nombor 2 di dalam parti dan kerajaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai pandangan tentang isu-isu hangat yang melanda negara. Ada pihak yang menganggap, tidak salah baginya menyatakan kebimbangan tersebut,apatah lagi kritikan dan teguran merupakan sesuatu yang boleh mematangkan sesebuah partidan kerajaan itu dan ini bukanlah kali pertama pihak kerajaan dikritik.
Namun nada yang dilontarkan  oleh Muhyiddin adalah seperti laungan atau jeritan para pemimpin pembangkang yang begitu cepat membuat tohmahan tentang sesuatu isu dan bukannya dari seorang jeneral kanan yang sanggup bersama-sama berjuang di medan pertempuran.
Jika difikirkan secara logik, adalah sesuatu yang agak janggal dan menghairankan sekali apabila pemimpin nombor dua dalam parti dan kerajaan membuat pengakuan bahawa beliau masih tidak memahami tentang isu yang melibatkan 1MDB sehingga terpaksa mendapatkan maklumat daripada The Edge yang kini telah digantung penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bukankah isu ini sudah lama  dan pastinya telah dibincangkan dalam pelbagai mesyuarat di peringkat tertinggi. Perlu diingatkan juga bahawa siasatan masih dilakukan dan berikan masa dan peluang kepada pihak yang terbabit menyiasat isu ini dengan lebih terperinci . Mengapa perlu mencadangkan agar diambil tindakan terhadap mereka yang belum dibuktikan bersalah?


Itu sebabnya juga , siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas (Special Task Force) dan pihak lain mesti diteruskan tanpa sebarang sekatan dan gangguan. Kenyataan terbuka yang dibuat oleh Muhyiddin sedikit sebanyak  telah mengundang rasa ketidakpercayaan rakyat terhadap tugas dan amanah yang sedang dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Khas ini.
Bahkan kenyataan beliau ”Jika Pilihan Raya Umum diadakan esok, BN akan tewas” seolah-olah memberikan gambaran kepada para penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) bahawa BN sudah mengangkat kain putih dan menyerah kalah begitu sahaja.Jika kenyataan itu dibuat oleh ahli UMNO biasa,mungkin ianya tidak akan mempengaruhi pemikiran para penyokong BN. Namun yang membuat kenyataan ini adalah daripada orang kedua dalam kepimpinan parti dan pastinya mampu untuk mempengaruhi keputusan dan pilihan orang ramai.
Berbalik kita pada persoalan pertama yang dinyatakan dalam artikel ini.Bagaimana pula dengan kedudukan Muhyiddin dalam UMNO?. Sebagai Timbalan Presiden UMNO yang telah dipilih oleh perwakilan, Muhyiddin berhak untuk menghadiri mesyuarat  ataupun perhimpunan tahunan UMNO. Namun begitu, secara realitinya, dalam hal ini, Muhyiddin perlu sedar yang kehadirannya sedikit sebanyak akan menimbulkan rasa tidak senang dan pastinya akan memberi kesan terhadap tugas dan tanggungjawab yang akan dilaksanakan oleh pihak kepimpinan UMNO.
Walaupun ada pihak yang akan cuba menyuruh Muhyiddin untuk terus berjuang  dan menyatakan pendiriannya dalam UMNO, namun sebagai pemimpin No 2 parti, Muhyiddin pastinya juga faham dan telah merasai sendiri pengalaman bagaimana  pemimpin yang tidak sealiran dengan pucuk kepimpinan parti akan memberikan kesan negatif terhadap perjuangan parti.
Itu sebabnya ada pihak yang mahukan Muhyiddin sendiri berundur secara hormat dan tidak perlu mengamalkan sikap “alang alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan”. Sebagai seorang pejuang parti, pastinya Muhyiddin tidak mahu melihat perpaduan dalam UMNO dijadikan mangsa ,disebabkan rasa  tidak puas hatinya.

Sebagai seorang yang telah lama menjadi pemimpin, Muhyiddin telah memainkan peranan penting dan berjasa besar terhadap kejayaan parti dan kerajaan umumnya. Inilah masanya untuk Muhyiddin berundur secara hormat dalam UMNO dan membuktikan kapada semua bahawa beliau adalah pemimpin yang mengutamakan perpaduan dalam parti.
Kepada ahli-ahli UMNO perlu diingatkan sekali lagi bahawa perjalanan UMNO akan berdepan dengan pelbagai lagi duri dan ranjau. Pengkritik UMNO akan terus bersuara dan kemungkinan besar, laungan itu akan menjadi semakin kuat, lantang dan bising.
 Inilah cabaran dan tanggungjawab yang akan terus digalas oleh pucuk kepimpinan UMNO.Selagi semua ahli UMNO berdiri teguh di belakang presiden, selagi itulah apa yang bakal dilalui ini akan ditangani dengan rasional dan bijaksana demi survival UMNO sebagai parti utama di negara ini.
Syawal adalah bulan mencari kemaafan dan keredhaan.Kita perlu mengambil iktibar untuk menyelesaikan sebarang perselisihan yang timbul .Marilah kita bersama sama berdoa dan mengharapkan awan gelap yang berarak di atas kepala kita akan berlalu tanpa adanya ribut taufan yang akan memcahbelahkan perpaduan sesama kita.
Shahbudin Embun
Ahli Majlis Perundingan Melayu Malaysia/ Blogger Lawyer Pokok Cherry.
(Penulis Buku NAJIB PENERAJU TRANSFORMASI)
Mykad: 530916 09 5037       
Tel: 019-3687455
Alamat : No 9.12 Alpha Villa Apartment,Jalan 2/27A, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Shahbudin Hj Embun