Selasa, Mei 12, 2015

GILIRAN AHMAD SAID MENJATUHKAN NAJIB

Hari ini genap satu tahun Datuk Seri Ahmad Said dilucutkan jawatan Menteri Besar Terengganu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih ADUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai menteri besar yang baru. BN yang menang 17 kerusi dalam PRU pada tahun 2013 menerima kejutan pada malam itu apabila Ahmad Said bersama ADUN Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi, Rosli Daud keluar dari Umno.

Bagaimanapun mereka bertiga menyertai semula Umno kerana bimbang kerajaan BN akan tumbang. Sejak bulan April tahun lepas episod menyerang Ahmad Said dilakukan oleh media pro Najib. Najib dikatakan tidak mahu Ahmad Said meneruskan lagi berkhidmat sebagai menteri besar.

Hari ini dalam sidang DUN Terengganu ADUN Kijal itu membuat pendedahan yang mengejutkan semua orang tentang 1MDB. Semua orang tahu 1MDB berasal dari Terengganu Investment Authority (TIA). Beliau membantah cadangan Najib mencagarkan minyak dan gas Terengganu kepada 1MDB. Inilah punca beliau ditamatkan jawatan menteri besar, dakwa Ahmad Said.

Serangan Ahmad Said itu mendapat tepukan gemuruh daripada 15 orang ADUN pembangkang. Kalau tahun lepas giliran Najib menjatuhkan Ahmad Said kini tiba giliran Ahmad Said pula menjatuhkan Najib.

Ahmad Said menyertai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyerang Najib dalam isu 1MDB. pada mulanya isu 1MDB dicetuskan oleh ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang berasal dari Kemaman.

Bola yang disepak oleh PKR itu diambilalih oleh Dr Mahathir yang mendakwa sebanyak RM42 bilion hilang akibat skandal 1MDB itu. Ia lebih memeningkan kepala Najib apabila Tabung Haji diseret membeli tanah 1MDB sebanyak RM177 juta. Isu ini meletup satu hari sebelum hari pengundian PRK Permatang Pauh yang menyebabkan BN kalah teruk dalam PRK tersebut.

Najib terpaksa mengarahkan Tabung Haji menjual semula tanah 1MDB itu kerana Tabung Haji dianggap sebagai bank umat Islam yang mahu menunaikan fardhu haji di Mekah. Ramai yang mengeluarkan deposit mereka gara-gara ia dianggap sebagai bail out 1MDB.

Hari ini selepas setahun Ahmad Said dlicutkan jawatan menteri besar, beliau menggunakan DUN sebagai platform untuk mendedahkan kebenaran. Tak pasti sama ada pendedahan ini bertujuan untuk menimbulkan simpati rakyat kepada beliau kerana kononnya sudah lama dia berani menentang Najib dalam isu 1MDB.

Siapa yang tidak kenal dengan Ahmad Said? Dengan Dr Mahathir dia berani menentang orang kuat Dr mahathir, Tan Sri Eric Chia yang mengetuai Perwaja Steel ketika itu di kemaman. Selaku Yang Dipertua Majlis Daerah kemaman, Ahmad Said tidak lulus CF perumahan perwaja. Dia peduli apa dengan Eric Chia kerana orang kepercayaan Dr Mahathir itu tidak mengikut prosedur dalam memohon CF.

Ahmad Said menyertai Dr Mahathir menentang Najib dalam isu 1MDB. Sejauh mana nasib Najib kali ini? Adakah Najib akan berundur hasil gabungan serangan Dr mahathir dan Ahmad Said?

Ketua Umno Bahagian kemaman itu menjelaskan beliau akan mendedahkan dengan lebih banyak lagi pada masa akan datang. Beliau mengakui 1MDB pada asalnya Terengganu Investment Authority tetapi menarik diri apabila beliau tidak dapat menerima cubaan mencagar hasil minyak dan gas di perairan Terengganu.

Beliau dimarahi oleh Najib kerana menarik diri dan kerajaan negeri tidak rugi apa-apa kerana beliau minta balik wang satu juta sebagai modal berbayar ketika itu. Sayangnya ketika Ahmad Said berucap membahaskan titah ucapan perasman Sultan Terengganu, tiada seorang ADUN BN yang bangun mempertahankan najib. Justru itu ketika menggulung perbahasan pada Khamis ini Menteri besar, Razif hendaklah mempertahankan Najib dalam isu 1MDB.

Nampaknya sokongan padu rakyat Tawau kepada najib tidak membawa apa-apa erti kerana isu 1MDB masih belum reda. malah sokongan kepada Najib dan Muhyiddin yang diperolehi oleh Majlis tertinggi Umno semalam belum meleraikan isu 1MDB.

Adakah Najib semakin nazak? Hanya Allah yang mengetahui sama ada kini Najib sedang menghitung hari untuk kembali menjadi rakyat biasa. Serangan pembangkang bersama Mahathir ditambah pula dengan pendedahan Ahmad Said membuktikan bahawa isu 1MDB benar-benar menjerat leher Najib.

Selamatkah Najib? Sama-sama kita tunggu dan lihat.