Rabu, Februari 25, 2015

TIGA BEKAS MB BERTEMU DALAM SATU FORUM

KUALA TERENGGANU, 24 Feb (Bernama) -- Tiga bekas menteri besar Terengganu menyatakan persetujuan mereka untuk hadir pada satu majlis forum bagi menjelaskan inspirasi dan pandangan mereka dalam membangunkan negeri Terengganu. Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata beliau sendiri akan menjadi moderator kepada majlis itu yang dijangka bakal berlangsung selepas tempoh setahun beliau menjadi menteri besar pada 12 Mei nanti. Beliau berkata pandangan daripada tiga bekas menteri besar iaitu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (1974-1999), Datuk Seri Idris Jusoh (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said (2008-2014) juga akan membantu menjayakan Tranformasi Terengganu Baharu yang bersandarkan kepada lapan prinsip utama. "Selepas setahun saya sebagai menteri besar, selepas 12 Mei ini, pandangan ketiga-tiga tokoh (bekas Menteri Besar) apa yang mereka laksana dan apa inspirasi, apa yang belum terlaksana dan apa tugas saya, serta gabungan solidariti yang patut berlaku," katanya kepada pemberita mengenai harapan beliau terhadap forum itu di sini hari ini. Pada 12 Mei tahun lepas Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Ahmad Said. -- BERNAMA

Isnin, Februari 23, 2015

BN TAK TANDING DI DUN CEMPAKA

Petang semalam anak saudara saya, Fayadh Kamal bertunang dengan anak saudara ahli parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis (JJ), Raja Diana di rumah Raja Diana di Shah Alam. Oleh kerana ayah Raja Diana sudah meninggal dunia, maka JJ yang jadi jurucakap bagi pihak perempuan. Saya pernah menemubual eksklusif dengan JJ ketika beliau Menteri Sains Teknologi dan Inovasi pada tahun 2007.Ketika itu saya bekerja asebaagai editor akhbar Warta Parlimen Kepala Batas. Malah ketika menjadi editor akhbar Watan pada tahun 2009, saya turut menemubual beliau yang mahu bertanding jawatan Naib Presiden Umno. tetapi beliau menarik diri dalam pertandingan tersebut. JJ adalah bapa saudara Raja Diana sebelah emak manakala bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik adalah bapa saudara Raja Diana sebelah ayah. Selepas selesai majlis bertunang, sewaktu minum dsaya sempat duduk semeja dengan JJ bercakap politik. Beliau menceritakan pengalamannya menang besar du parlimen Rompin kerana sebagai ahli parlimen dia beri bantuan tidak kira kepada orang Umno atau orang PAS. Memang orang Umno marah, tetapi sebagai wakil rakyat dia beri bantuan tanpa mengira parti. Sebab itu beliau menerima undi daripada orang PAS yang terhutang budi dengannya. Malah apabila 1MDB hantar jemaah haji dari setiap parlimen, beliau turut hantar tok imam PAs. Akhirnya tok imam PAS mengundi beliau dalam pilihanraya. Bila tok imam PAS itu mahu masuk Umno, JJ larang kerana niatnya hantar imam itu ke Mekah bukan kerana nak suruh dia masuk Umno. Begitulah popularnya JJ di parlimen Rompin. Malah Ustaz Nasaruddin yang berasal dari Rompin terpaksa bertanding di temerloh. katanya, selagi JJ ada di Rompin, susah PAS nak menang. Di temerloh Ustaz nasaruddin berjaya mengalahkan Datuk saifuddin Abdullah. Sewaktu bersembang semalam JJ berkata BN tidak akan bertanding di DUN Cempaka demi perpaduan Melayu. tetapi BN tetap lawan PKR di Permatang Pauh kerana senario di Cempaka dan Permatang pauh adalah berbeza. DAP berkata 18 Mac secara automatik PAS gugur dari Pakatan rakyat kerana PAS membentangkan enakmen hudud di DUN kelantan, Dengan keluarnya PAS dari Pakatan Rakyat, gabungan PAS dan UMno akan menguatkan lagi perpaduan melayu.Itulah harapan JJ yang mahu melihat perpaduan melayu kukuh kembali. Kalau PAS menyertai Bn di zaman tun Razak, apa salahnya PAS kembali menyokong Umno di zaman anak Tun razak. Semoga impian ahli majlis tertinggi Umno ini menjadi kenyataan.

Selasa, Februari 10, 2015

MIMPI BERTEMU PAK SAKO

Pagi ini bila terkejut dari tidur pada jam 4 pagi, aku bermimpi bertemu dengan Sasterawan Negara, Pak Sako. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini aku sering bermimpi menemui orang yang sudah meninggal dunia. Sudah 24 tahun Pak Sako meninggalkan kita kenapa pulak aku bermimpi menemuinya.Ketika aku mula mula menjadi wartawan akhbar Watan pada tahun 1987, aku agak rapat dengan Pak Sako atau nama sebenarnya Ishak Haji Muhammad.
Biasanya tiap minggu Pak Sako datang ke pejabat Karangkraf yang terletak di Taman Tun Dr Ismail. Aku suka melayan Pak Sako. Dia tanyaku berasal dari mana, aku jawab dari Kemaman. Dia pun cerita pengalamannya bekerja sebagai majistret di Kemaman pada tahun 1940an. Bila dia nak balik ke Hulu Langat, aku temaninya naik bas dari Taman Tun Dr Ismail ke Pudu Raya. Seronok berkawan dengan Pak Sako kerana semua orang mengenalinya. Apabila dia nak beli makanan, orang tak ambil duit daripadanya yang peramah. Setiap kali dia tegur orang yang ditemuinya, dia akan tanya asal dari mana. Kalau orang itu jawab dari Rembau, dia akan cerita pengalamannya duduk di Rembau. Ini bermakna seluruh Malaya dia sudah merantau menyebabkan Pak Sako tahu setiap tempat yang dirantaunya. Apabila saya ditukarkan ke Sabah pada bulan Disember 1989, perhubungan saya dengan Pak Sako terputus.Ketika itu mana ada handphone, mana ada sms, mana ada whatsapps. Apabila saya ditukarkan semula ke Kuala Lumpur pada bulan April 1991,saya berkunjung ke rumahnya. Masa itu dia sedang sakit. Bila saya sebut Zabidi dari akhbar Watan terus diingatinya Zabidi Kemaman. Saya pergi dengan kawan saya. Pak Sako tak ingat kawan saya itu walaupun dia adalah seorang wartawan yang popular. Pada pagi 7 November 1991, kebetulan saya bangun awal dan saya rasa nak beli sangat suratkhabar Utusan Malaysia pagi itu. Ia menyiarkan berita kematian Pak Sako yang sudah tentu mengejutkan saya. Saya hubungi Bung Karim teman rapat Pak Sako yang pernah bekerja di Pejabat Seranta di Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah. Saya kenali Bung Karim ketika bekerja di FELCRA pada tahun 1983-1986. Kami terus ke Temerloh kerana Pak Sako dikebumikan di kampungnya di Buntut Pulau. Ramai sahabatnya yang menghantarnya ke kubur. Pak Sako adalah seorang nasionalis yang amat bencikan penjajah melalui karya-karyanya. Walaupun Menteri Kebudayaan dan Kesenian ketika itu juga adalah orang Temerloh tetapi Tan Sri Sabaruddin Chik tidak pernah mengiktiraf Pak Sako kerana Pak Sako tahu rahsia peribadinya. Pak Sako selalu berkata Sabaruddin adalah anak angkat Chik. Dakwanya, Sabaruddin adalah anak Shamsiah Fakeh yang diberi kepada Chik apabila Shamsiah masuk ke dalam hutan.wallahuaklam. Alfatihah buat Pak Sako.

Isnin, Februari 09, 2015

ZAPIN PENYATU RAKYAT NUSANTARA KATA TAWFIQ

TAWAU, 9 Feb (Bernama) -- Seni tarian zapin berupaya menjadi elemen penyatu hubungan antara rakyat di rantau nusantara, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. Beliau berkata, penyertaan peserta dari Indonesia dalam Festival Zapin Borneo (FZB) 2015 bukti seni tari berkenaan dapat menimbulkan perasaan akrab dan kesatuan yang mendalam. "Saya difahamkan ini adalah kali ketiga penganjuran festival FZB dan penyertaan bukan sahaja datang dari negeri ini tetapi juga negara jiran dan ia sangat membanggakan. "Penyertaan peserta dari negara jiran dalam festival seperti ini sangat dialu-alukan dan memang tidak dapat dinafikan ia dapat mengeratkan lagi hubungan masyarakat kedua-dua negara," katanya pada Majlis Perasmian FZB 2015 yang berlangsung di perkarangan Padang Perbandaran Tawau, di sini, malam tadi. Menurut Tawfiq seni tari berkenaan perlu dipertahan dan dikekalkan bukan sahaja bertujuan sebagai hiburan semata-mata tetapi warisan yang mempunyai nilai tersendiri. "Oleh itu masyarakat terutamanya generasi muda perlu menghayati bait-bait lirik dan seni tarian zapin kerana ia mengandungi nasihat, pedoman dan panduan yang boleh dicontohi. "Kita kena pastikan generasi muda tidak melupakan budaya zaman berzaman ini sebaliknya memanfaatkannya untuk mengukuh tali silaturahim sesama sendiri," katanya. Pada festival itu, Kumpulan Kaswari dari Kota Kinabalu mempertahankan kejuaraan apabila mucul sebagai Johan kali ke-2 berturut-turut dan tempat ke-2 dimenangi Kumpulan Sanggar Bedewa dari Nunukan, Indonesia manakala Kumpulan Irama Zapin 1Malaysia dari Tawau menduduki tempat ketiga. -- BERNAMA

Ahad, Februari 08, 2015

SELASA INI TENTUKAN NASIB ANWAR IBRAHIM

Oleh Suriati Sidek Ahmad KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Bersalah atau tidak? Selasa ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disabitkan oleh Mahkamah Rayuan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, akan tahu sama ada beliau akan meringkuk dalam tirai besi atau bebas. Ini akan terjawab pada 10 Feb ini apabila Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusan yang ditunggu-tunggu berhubung rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya itu, tujuh tahun lepas. Seorang daripada peguam bela Anwar, Ramkarpal Singh Deo semasa dihubungi Bernama berkata pasukan pembelaan "yakin keputusan akan memihak kepada anak guam mereka". Ditanya sama ada pihak pembelaan akan memfailkan semakan terhadap keputusan mahkamah tertinggi itu jika Anwar gagal dalam rayuan akhirnya itu, peguam itu berkata ia akan bergantung pada alasan penghakiman yang mereka perlu teliti sebelum memutuskan untuk memfailkan semakan. Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 membenarkan pihak yang kalah untuk memohon semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan. Walaupun Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusannya sendiri bagi mencegah ketidakadilan dan salah guna proses mahkamah, umumnya ini hanya akan dilaksanakan dalam keadaan amat luar biasa. Sementara Zamri Idrus yang merupakan peguam pemerhati bagi Mohd Saiful, berkata beliau akan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah dalam membuat keputusan berdasarkan autoriti hujahan dan keterangan dikemukakan di mahkamah. Pada 7 Nov tahun lepas, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, menangguhkan keputusannya selepas mendengar hujahan daripada 15 peguam yang mewakili Anwar diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan. Pasukan itu termasuk tiga anak peguam terkemuka mendiang Karpal Singh yang mengetuai pasukan peguam bela Anwar dalam kes itu sehingga kematiannya pada 17 April 2014. Peguam kanan itu terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Perak. Mereka ialah Ramkarpal, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo, manakala peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan. Empat lagi hakim dalam panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali. Pendengaran rayuan Anwar yang awalnya ditetapkan selama dua hari dari 28 Okt 2014 telah berlarutan selama lapan hari ekoran pihak pembelaan dan pendakwaan mengemukakan hujahan panjang lebar dan banyak kes undang-undang dijadikan rujukan dalam rayuan itu. Mahkamah tertinggi di negara ini akan menyampaikan keputusan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas, selepas ia mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya. Sekiranya Anwar gagal dalam rayuannya, beliau akan lucut kelayakan sebagai Anggota Parlimen (MP) Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa seorang MP akan lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000. Pihak pendakwaan turut memfailkan rayuan balas untuk menambah tempoh hukuman penjara. Bagaimanapun, perkara itu hanya akan didengar sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Sebanyak 27 saksi pihak pendakwaan termasuk saksi utama Mohd Saiful, dan lapan saksi pihak pendakwaan termasuk Anwar memberikan keterangan dalam perbicaraan yang berlarutan hampir tiga tahun di Mahkamah Tinggi yang turut mendapat perhatian seluruh dunia. Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan itu atas alasan mahkamah tidak pasti 100 peratus dengan sampel yang diambil daripada mangsa bagi ujian DNA. Mahkamah memutuskan bahawa sampel itu mungkin telah diganggu atau tercemar sebelum ia sampai ke Jabatan Kimia untuk analisis. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mensabitkan Anwar terhadap pertuduhan meliwat itu, memutuskan bahawa hakim perbicaraan telah terkhilaf dalam dapatannya berhubung sampel itu yang dibuat berdasarkan keterangan dua pakar yang merupakan saksi pihak pembelaan. Ini merupakan kes liwat kedua dihadapi Anwar. Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa, di sini pada 1994, dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000. Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas selesai menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan rasuah. Beliau didapati bersalah terhadap empat pertuduhan rasuah pada 4 April 1999. Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara hampir enam tahun bagi kesalahan rasuah, Anwar dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah Persekutuan, diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad yang kemudian dilantik menjadi Ketua Hakim Negara, membatalkan sabitannya dan mengetepikan hukuman penjaranya bagi pertuduhan meliwat Azizan, dalam keputusan majoriti 2-1. Abdul Hamid dan Hakim Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud membuat keputusan yang memihak kepada Anwar manakala Hakim Datin Paduka Rahmah Hussein tidak memihak kepadanya. Bagaimanapun, Abdul Hamid, yang menulis penghakiman majoriti itu, berkata para hakim mendapati Anwar dan tertuduh bersama Sukma Darmawan Sasmitaat Madja "terlibat dalam aktiviti homoseksual" dan para hakim cenderung untuk mempercayai bahawa kejadian liwat yang didakwa itu sebenarnya berlaku. -- BERNAMA

Sabtu, Februari 07, 2015

"MUKA MACAM BIAWAK" BAWA TUAH KEPADA KUMPULAN ZERO

Nama Kumpulan Zero kini harum semerbak hasil persembahan konsisten mereka di Maharaja Lawak Mega 2014 setakat minggu ke 4. Naib Juara Raja Lawak Musim Ke 6 tahun 2012 (di belakang Shiro) yang berasal dari Daerah Kudat merupakan antara peserta yang paling cemerlang dengan idea-idea lawak yang bermutu tinggi dan baru dan hasilnya Kumpulan Zero telah mencipta rekod dengan mendapat 4 1/2 bintang di Maharaja Lawak Mega 2014 Minggu ke 4 yang lalu. Dan kini Zero telah dinobatkan sebagai Juara Maharaja Lawak Mega 2014.Zero hambar di pertengahan minggu kembali menyengat selepas mereka mempersembahkan karoot komedia yang menyanyi lagi " ada biawak dalam seluar, ada seluar dalam biawak". Ayat "muka macam biawak" telah membawa tuah kepada kumpulan tiga beradik ini. Sudah tiba masanya bagi mereka yang tidak mengenali kumpulan ini untuk mengetahui latar belakang Kumpulan Zero yang terdiri daripada tiga adik beradik iaitu Syaiful (25), Sharif (23) dan Atu (21). Tiga beradik ini mahu mencipta nama sebagai kumpulan pelawak adik beradik pertama yang berjaya di Malaysia selain mahu membantu keluarga mereka di kampung yang terletak di Kudat, Sabah. Setelah kematian ayahnya yang cacat penglihatan, mereka mencuba nasib di program realiti Raja Lawak dan berjaya menjadi naib juara. Sebelum itu, mereka 3 beradik bekerja sebagai nelayan dan buruh kasar yang merupakan pekerjaan suku Bajau. Memang meleleh air mata membaca kisah hidup mereka. Biodata Kumpulan Zero Dari kiri - Atu, Syaiful dan Sharif Tonton video Kumpulan Zero di Gelanggang Maharaja Lawak Mega 2014 di SINI. atau LIVE STREAMING FINAL MLM 2014 di SINI BIODATA KUMPULAN ZERO MAHARAJA LAWAK MEGA 2014 (MLM 2014) Peserta pertama: SYAIFUL Nama Sebenar : Mohd Syaiful Bin Doli Sharif Asal :Kudat, Sabah Umur :25 tahun Bakat selain melawak : Menyanyi, berlakon, aksi, bermain alat muzik Kerjaya :Buruh kasar, nelayan Peserta kedua: SHARIF Nama Sebenar : Sharif Kadir Bin Doli Sharif Asal :Kudat, Sabah Umur :23 tahun Bakat selain melawak : Menyanyi, berlakon, aksi, bermain alat muzik Kerjaya :Buruh kasar, nelayan * Syaiful diberitakan akan menamatkan zaman bujangnya selepas tamat Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) dan akan berkahwin dengan gadis pilihan hatinya pada pertengahan bulan Februari 2015. Peserta ke-3: ATU Nama Sebenar : Sharid Kunal Bin Doli Sharif Asal :Kudat, Sabah Umur :21 tahun Bakat selain melawak : Menyanyi, berlakon, aksi, bermain alat muzik Kerjaya :Buruh kasar, nelayan

Selasa, Februari 03, 2015

GADIS DIKELAR KERANA MENOLAK CINTA MANGSA

JITRA, 3 Feb (Bernama) -- Bapa kepada pelajar wanita yang maut akibat dikelar seorang lelaki semalam pernah membuat laporan polis mengenai anaknya yang sering diganggu lelaki itu sejak di Tingkatan Lima. Johari Hashim berkata pemuda tersebut merupakan rakan sekampung dan pernah meluahkan hasrat untuk menjalin hubungan serius dengan anaknya. Namun beliau berkata mereka sekeluarga menghalang hasrat pemuda itu kerana dia disyaki menagih dadah. "Anak saya hanya berkawan biasa. Tetapi dia mahu mengadakan hubungan serius. Anak saya pernah beritahu kami, lelaki itu selalu mengganggunya. Saya pernah telefon dan hantar SMS kepada dia supaya jangan ganggu anak saya. "Saya juga pernah membuat laporan polis empat tahun lepas. Apabila dia bekerja di Melaka, saya ingatkan dia sudah berhenti ganggu anak saya kerana anak saya tidak lagi bercerita mengenainya," katanya kepada pemberita. Anaknya Nursyuhada, 20, yang merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang maut selepas dipercayai dikelar seorang lelaki di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, Perak semalam. Johari berkata namun selepas itu, anaknya memberitahu lelaki berkenaan masih menganggunya. Beliau berkata keluarga pemuda itu mengetahui kelakuannya yang pernah bertindak ganas memecahkan pintu rumahnya di Taman Hosba di sini. Beliau berkata pemuda tersebut pernah melarikan anaknya dengan kereta sebelum ini tetapi mereka sekeluarga menemuinya semula. "Saya sangat terkejut apabila rakan kelas anak saya menghubungi isteri saya dan memberitahu anak saya akan dicederakan sekiranya anak saya tidak mahu menaiki kereta lelaki itu. "Isteri saya cuba menghubunginya anak saya beberapa kali, tetapi panggilan telefonnya tidak dijawab. Saya juga menghubungi ibu bapa pemuda itu meminta mereka menghubungi anak mereka untuk membawa pulang anak saya," kata Johari. Beliau berkata bapa lelaki itu kemudian menghubungi anaknya dan memaklumkan kepada Johari anaknya telah mengelar leher Nursyuhada. Beliau juga kesal kerana lelaki itu dilapor memberitahu pihak polis bahawa dia melakukan perkara itu kerana mengalami sakit mental. Johari berkata kali terakhir beliau bertemu anaknya ialah pada awal bulan lalu ketika menghantar anaknya di perhentian bas Shahab Perdana, Alor Setar untuk pulang ke kampus. Nursyuhada yang meninggal di Hospital Kuala Kangsar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherok Mokkan pagi tadi. -- BERNAMA

Ahad, Februari 01, 2015

MUSTAFA ALI BAYAR HUTANG GUNA WANG HARAKAH

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali perlu berundur daripada pengurusan Harakah jika mahu melihat akhbar itu meneruskan kelangsungannya sebagai lidah rasmi parti tersebut. Pengasas Harakah, Ishak Surin berkata, Mustafa sudah terlalu lama berada di tampuk pimpinan akhbar berkenaan iaitu lebih daripada 20 tahun bermula sebagai Pengarah Urusan, Timbalan Pengerusi dan kini Pengerusi Lembaga Pengarah. “Mustafa dah lama, memang patut berhenti. Kalau lama sangat pemimpin di sesuatu tempat, tempat itu akan jadi seperti harta dia, macam harta bapa dia lah. Advertisement “Sebagai pemimpin, beliau perlu menerima teguran, tambahan lagi kita dalam jemaah Islam. Dalam solat sendiri jika imam melakukan kesalahan kita kena tegur,” katanya dalam forum Harakah Dalam Bahaya: Mengapa Mustafa Ali Mesti Berundur Daripada Harakah, di sini malam tadi. Menurut Ishak yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Batu, terlalu banyak pembaziran dilakukan pengurusan Harakah yang diketuai Mustafa dan perbuatan itu tidak menggambarkan imej islam yang dibawa oleh Pas dan akhbar tersebut. Antara contoh pembaziran itu, kata beliau, pengubahsuaian bilik Pengarah Urusan yang disifatkan sebagai mewah kerana menelan belanja hingga puluhan ribu ringgit. Malah, kata beliau, pernah suatu ketika wang Harakah digunakan untuk kepentingan peribadi iaitu membayar hutang. “Tindakan ini tidak mengikut kehendak Islam. Orang akan ejek kita, bukan sahaja cakap tak serupa bikin malah bertentangan sekali dengan apa yang dicakapkan. “Hampir 30 tahun Harakah berdiri, sepatutnya wang yang diperoleh digunakan untuk membangunkan parti. Tapi apa yang kita dapat lihat, hanya pembaziran,” katanya. Ishak turut melahirkan kekesalannya terhadap pengurusan Harakah yang menganiaya dan mengabaikan kebajikan pekerjanya. Sambil menyifatkan pemecatan Ketua Pengarang dan dua Pengarang pengarang akhbar itu baru-baru ini sebagai perbuatan zalim, Ishak turut melahirkan kekesalannya mengenai gaji pekerja Harakah yang tidak dicarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). “Kita bercakap soal negara berkebajikan, tapi kebajikan dalam agensi parti sendiri tidak diberi perhatian mengikut lunas Islam. “Oleh yang demikian saya sarankan kesatuan sekerja perlu diwujudkan dalam Harakah. Jika ada kesatuan ini, saya yakin masalah dalaman Harakah dapat diselesaikan,” katanya.