Jumaat, Januari 23, 2015

ZAHID TETAP INGAT KAWAN LAMA

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menziarah rakannya semasa bekerja sambilan di Wisma Radio, Khairuddin Che Long yang uzur di rumahnya di sini, pada Khamis. Bekas timbalan pengarah Hal Ehwal Semasa Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu baru sahaja keluar dari unit rawatan rapi Pusat Perubatan Universiti Malaya setelah dirawat 18 hari kerana masalah kekurangan oksigen akibat penyakit "Chronic Obstructive Pulmonary Disease" (COPD). Ahmad Zahid berkata beliau mengenali Khairuddin, 62, semasa beliau masih menuntut di Universiti Malaya dan bekerja sambilan di Wisma Radio. "Saya mengetahui keadaannya yang kini uzur apabila beliau beberapa kali menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada saya untuk berjumpa. Jadi, hari ini saya datang untuk bertemunya dan melihat sendiri keadaan Khairuddin," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis. Ahmad Zahid berharap lebih ramai rakan-rakan yang pernah mengenali Khairuddin, terutamanya dalam bidang penyiaran dan kewartawanan, menziarahinya kerana beliau amat memerlukan semangat dan motivasi bagi mengharungi penyakitnya itu. Sementara itu, isteri Khairuddin, Wan Hanisah Wan Omar, 60, yang juga bekas Penerbit Rancangan RTM berkata suaminya kini beransur pulih, namun kurang selera makan sebab penyakitnya turut melibatkan masalah paru-paru. Wan Hanisah berkata Khairuddin mula didiagnos penyakit berkenaan pada 2011 apabila batuk yang dihidapinya tidak sembuh, dan keadaan kesakitannya kini tidak menentu. -- BERNAMA