Khamis, Januari 08, 2015
SABRI TOKOH KORPORAT HEBAT
KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Sabri Ahmad, yang meninggal dunia Khamis disifatkan sebagai tokoh korporat hebat kerana berjaya membawa keuntungan kepada Kumpulan Golden Hope Plantations Bhd (Golden Hope).
Pengerusi Golden Hope Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata Allahyarham ketika memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada 2004 hingga 2007, berjaya membantu Golden Hope meraih keuntungan yang besar.
"Allahyarham telah menjalankan tugas dengan baik sehingga Golden Hope layak bergabung dengan Sime Darby dan Guthrie," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini Khamis.
Selain itu, Allahyarham juga sangat profesional dan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai daya maju projek serta pasaran luar negara.
"Allahyarham juga seorang yang sangat sederhana dalam pergaulan dan sangat patuh pada ajaran agama," katanya.
Sabri, 68, meninggal dunia akibat kanser paru-paru, 5.30 pagi di Hospital Sunway, Petaling Jaya.
Ahmad Sarji berkata beliau sudah mengenali Allahyarham lebih 30 tahun, malah pernah bersama-sama bertugas di Kementerian Pertanian dan kali terakhir bertemu beberapa bulan lalu.
Anak sulung Allahyarham, Sabrina Sabri, berkata bapanya menghidap kanser sejak lebih setahun lalu.
Allahyarham meninggalkan isteri Jahara Yahya, 66, dua anak perempuan dan enam cucu.
-- BERNAMA