Isnin, Ogos 11, 2014
PEMUDA UMNO PERLU BERANI KATA BUNG MOKHTAR
SANDAKAN, 10 Ogos (Bernama) -- Anggota Pergerakan Pemuda Umno perlu berani
dan menambah nilai diri dalam menghadapi perkembangan politik semasa yang
semakin mencabar.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Bung Moktar Radin berkata antara perkara
yang harus diberi tumpuan ialah aspek komunikasi dan teknologi maklumat
berikutan perkembangan politik kini banyak dipengaruhi media sosial dan perang
siber.
"Pemuda Umno perlu berani dan proaktif menghadapi unsur negatif dalam media
sosial berikutan isu yang dimainkan mampu membawa kepada perpecahan kaum dan
agama," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Kinabatangan
di sini hari ini.
Bung Moktar yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan berkata dalam
perkembangan komunikasi dan teknologi maklumat, individu tidak bertanggungjawab
bebas membuat berita palsu dan tuduhan yang tidak membina.
Justeru, katanya di sinilah Pemuda Umno boleh berperanan menerusi media
sosial untuk menangkis tomahan yang boleh mengugat perpaduan kaum dan agama.
Beliau juga berkata usaha perlu dipertingkatkan Umno dan Barisan Nasional
dalam menghadapi tohmahan dan fitnah yang dilemparkan individu tidak
bertanggungjawab termasuk dari parti pembangkang.
"Ia (tomahan) tidak hanya ditangani menerusi media sosial tetapi pendekatan
turun padang ke akar umbi perlu dipertingkatkan untuk berjumpa dan memberi
penerangan kepada rakyat supaya tidak terpengaruhi unsur negatif," katanya.
-- BERNAMA
HG HG RAM