Sabtu, Ogos 30, 2014
CADANGAN IDRIS HARON ADA WOW FAKTOR KATA AHMAD MASLAN
MELAKA, 30 Ogos (Bernama) -- Badan Perhubungan Umno Melaka akan mencadangkan
penubuhan cawangan Umno Maya yang disasar kepada golongan muda dan kumpulan
profesional bagi menarik mereka ke dalam perjuangan parti serta mengundi Barisan
Nasional (BN).
Ketua Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Idris Haron, yang juga Ketua
Menteri, berkata penubuhan cawangan itu adalah bersyarat iaitu memiliki
sekurang-kurangnya 100 ahli dan mereka dikehendaki memberi jaminan akan mengundi
BN pada pilihan raya umum.
"Kita menyasarkan keahlian cawangan itu terdiri daripada pelajar kolej dan
universiti yang layak mengundi, yang tidak dapat memasuki satu-satu cawangan
secara fizikal kerana sesuatu sebab tertentu.
"Mereka dibenar menubuhkan cawangan maya itu kerana terdapat cawangan yang
ada mempunyai 'pintu', ini tak boleh, esok nak lawan aku, jadi mereka ini akan
kecewa.
"Kita tidak mahu mereka yang kecewa tidak dapat menganggotai cawangan akan
beralih menyokong parti pembangkang," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat
Perwakilan Umno Bahagian Tangga Batu di Dewan Kompleks Penjara Sungai Udang hari
ini, yang dirasmikan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
Turut hadir bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Sementara itu, Ahmad berkata cadangan penubuhan cawangan Umno Maya akan
diperhalusi daripada aspek kebaikan dan keburukan selepas Umno Melaka menghantar
permohonan bertulis.
"Secara peribadi, (saya berpendapat) cadangan ini mempunyai faktor 'wow'
untuk membantu parti dan kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata anggota Umno berdiri teguh bersama-sama
Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung teguran bekas Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran Najib.
"Tugas saya sebagai Ketua Penerangan ialah menjelaskan perkara-perkara yang
ditegur oleh Tun Dr Mahathir, dan penjelasan perlu dibuat tanpa kita memburukkan
beliau yang kita amat-amat hormati sebagai negarawan negara," katanya.
Antara isu yang dibangkit bekas perdana menteri itu ialah Program
Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
-- BERNAMA
NO NO SBB