Jumaat, Julai 18, 2014
MAS: SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Satu lagi tragedi mengejutkan negara
apabila Malaysia Airlines (MAS) mengalami satu lagi kemalangan pesawat selepas
MH17 dilaporkan terhempas di Ukraine.
Berita terkini oleh media asing melaporkan MH17 "ditembak jatuh" ketika ia
berada pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di Ukraine berhampiran sempadan
Rusia.
Pesawat MH17 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa
280 penumpang dan 15 anak kapal.
Empat bulan sebelum ini pesawatnya MH370 yang membawa 239 penumpang, hilang
ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, dan dipercayai berakhir di
selatan Lautan Hindi pada 8 Mac.
Usaha mencari pesawat itu masih berjalan, bagaimanapun hingga sekarang,
serpihan pesawat itu gagal ditemui.
Dalam reaksi segera, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi
tweetnya "terkejut mendengar laporan pesawat MAS terhempas, dan mengarahkan
siasatan segera dijalankan."
Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin ketika dihubungi Bernama
berkata Wisma Putra sedang bekerjasama dengan kerajaan Rusia dan Ukraine susulan
tragedi itu.
MAS dalam satu kenyataan mengesahkan ia telah menerima pemberitahuan
daripada ATC Ukraine bahawa ia telah terputus hubungan dengan MH17 pada 1415
(GMT) 30km dari Tamak, kira-kira 50km dari sempadan Rusia-Ukraine.
Syarikat pengeluar pesawat, Boeing berkata ia bersedia memberi apa jua
bantuan yang diminta oleh pihak berkuasa berhubung MH17.
"Doa kami adalah bersama mereka yang berada dalam pesawat Malaysia Airlines
yang hilang di ruang udara Ukraine serta keluarga mereka dan orang tersayang,"
kata Boeing dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Seattle Khamis.
Portal kerajaan Ukraine http://www.kmu.gov.ua/ menyatakan pada Rabu situasi
di sempadan Ukraine-Rusia masih tegang.
"Pengawal sempadan meneruskan tugas berdasarkan pelan am ATO. Tentera upahan
Rusia dan pengganas saling berbalas tembakan," menurut laman web itu.
-- BERNAMA