Khamis, Julai 10, 2014
LALUAN JABOR KE CHENEH DIBUKA PADA 21 JULAI
KUALA TERENGGANU - Pakej kedua projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang menghubungkan Jabor ke Cheneh di Kemaman akan dibuka kepada semua lalu lintas pada 21 Julai ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, laluan sepanjang 26 kilometer itu akan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya sempena Aidilfitri.
"Baki 54 kilometer keseluruhan LPT 2 yang belum siap dijangka dibuka selewat-lewatnya akhir tahun ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di sini hari ini.
"Kita juga sedang meneliti kemungkinan untuk membuka laluan Cheneh ke Chukai pula sekiranya sempat sebelum Aidilfitri ini, namun belum mendapat kelulusan dan belum diwartakan untuk membuka laluan terus Jabor-Cheneh-Chukai sepanjang 40 kilometer itu," katanya.
Jika laluan ke Chukai itu sempat dibuka sebelum Aidilfitri, bermakna kita hanya perlu menyiapkan baki 40 kilometer sahaja lagi, katanya.
Projek LPT 2 sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu itu adalah kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006.
Projek LPT 2 itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.
Projek yang sepatutnya siap pada akhir tahun 2010 itu bagaimanapun mengalami masalah apabila beberapa kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja mengikut jadual berikutan masalah kenaikan harga barang pembinaan di pasaran. - Bernama