Isnin, Mei 26, 2014
JUMLAH ASET PELABURAN KWSP MENINGKAT 11.27 PERATUS
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari
ini mengumumkan caruman bersih daripada ahli dan majikan serta prestasi
pelaburan yang menggalakkan telah meningkatkan jumlah aset pelaburannya kepada
hampir RM600 bilion.
Setakat 31 Mac, 2014, aset pelaburan kumpulan wang persaraan itu berjumlah
RM597.02 bilion, meningkat 11.27 peratus atau RM60.47 bilion daripada RM536.55
bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2013.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata agensi
kerajaan itu kekal fokus dalam objektifnya untuk menjana pulangan pelaburan
stabil yang secara konsisten mengatasi kadar inflasi.
"Berdasarkan pertumbuhan pesat aset pelaburan KWSP, yang secara puratanya di
antara 10 dan 11 peratus setiap tahun, kami akan terus mempelbagaikan aktiviti
pelaburan jangka panjang kami dalam pelbagai pasaran dan sektor selaras dengan
Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahril Ridza berkata bergantung kepada hala tuju pasaran, KWSP akan terus
mengambil peluang yang wujud bagi mengimbangi portfolionya bagi tujuan risiko
dan pulangan yang optimum.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2014, KWSP melaporkan pendapatan
pelaburan sebanyak RM8.83 bilion berbanding RM5.60 bilion dan suku yang sama
pada 2013.
Peningkatan prestasi pelaburan KWSP yang lebih daripada 50 peratus ini
dipacu terutamanya oleh pulangan daripada pelaburan ekuiti.
Laporan itu juga menunjukkan 52 peratus dana KWSP telah dilaburkan dalam
instrumen berpendapatan tetap yang berisiko rendah; 43 peratus dalam pelaburan
ekuiti dan bakinya dalam instrumen pasaran wang, harta dan prasarana, katanya.
Tentang prospek hingga hujung tahun ini, Shahril Ridza berkata: "KWSP yakin
ekonomi Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik tahun ini
berdasarkan jangkaan pemulihan eksport yang disokong oleh permintaan domestik
yang kukuh. Bagaimanapun, KWSP akan terus berhati-hati terutamanya ketika
ketidaktentuan menyelubungi pergerakan modal kerana penyesuaian kadar faedah
jangka panjang berikutan pemulihan pasaran utama.
"Untuk mengoptimumkan pulangan, KWSP berpegang teguh kepada pendekatan
pelaburan berhemah dan jangka panjangnya dan akan sentiasa memastikan
perlindungan modal manakala meningkatkan nilai simpanan ahli terus menjadi
objektif utama kami," tegas beliau.
-- BERNAMA
NHIZ NHIZ NN KY