Isnin, Januari 13, 2014
BELIA SABAH AKAN DIBANTU DALAM PERUSAHAAN JAGUNG
TAWAU, 13 Jan (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan Sabah bersedia
membantu golongan belia di negeri ini menjalankan perusahaan jagung.
Menteri berkenaan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata antara bantuan
yang boleh disalurkan ialah peralatan dan latihan kursus serta penubuhan kiosk
di pusat komersial untuk penjualan produk berasaskan jagung.
"Penanaman jagung adalah satu rantaian ekonomi yang boleh diteroka jika
memiliki kesungguhan dan sifat inovasi serta berfikir secara positif," katanya
ketika berucap pada majlis Program Menuai Jagung Organik di Taman Kekal
Pengeluaran Makanan Tawau (TKPM) di sini, semalam.
Tawfiq yang juga anggota dewan undangan negeri Apas berkata usaha penanaman
jagung itu juga membolehkan daerah Tawau terus dikenali sebagai 'Bumi Peladang'
dan membantu meningkatkan pengeluaran bahan makanan negara.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Pengusaha TKPM Saini Saliman berkata
projek di TKPM itu telah bermula pada tahun 2010 dengan mengusahakan pelbagai
jenis tanaman.
"Untuk tanaman jagung organik, peserta yang memulakannya baru saja mendapat
hasil penuaian pertama selepas 65 hari ditanam," katanya.
-- BERNAMA