Khamis, November 21, 2013

PEGUAM YANG KALAHKAN KES SPRM DITERIMA JADI PENDAKWA KES ANWAR

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam berkaliber yang banyak mengalahkan kes SPRM seperti kes Tan Sri Kasitah Gadam, Datuk Ramli Yusof, Tan Sri Eric Chia akhirnya dilantik menjadi pendakwa dalam kes rayuan bekas Timbalan Perdana Menteru, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim gagal dalam percubaan terakhirnya untuk melucutkan kelayakan peguam Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pendakwaan dalam rayuan berhubung pembebasan ketua pembangkang itu daripada satu pertuduhan liwat. Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, sebulat suara menolak rayuan Anwar. Ini bermakna Muhammad Shafee boleh mengetuai pendakwaan pada pendengaran rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Rayuan pada 11 dan 12 Dis depan. Dalam penghakimannya, Md Raus yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordi, berkata tidak ada alasan yang munasabah bagi melucutkan kelayakan Muhammad Shafee daripada tampil sebagai pendakwa raya dalam kes itu. Md Raus berkata isu yang dibangkitkan peguam Karpal Singh bahawa Muhammad Shafee tidak boleh tampil sebagai pendakwa raya kerana merupakan saksi penting pada perbicaraan kes liwat Anwar, bukan isu kerana pihak pendakwaan dan pembelaan telahpun memutuskan beliau bukanlah seorang saksi yang relevan. Md Raus juga berkata hujah Karpal Singh bahawa pelantikan Muhammad Shafee sebagai pendakwa raya adalah terbatal kerana Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah tidak lagi terpakai, tidak mempunyai merit. Muhammad Shafee dilantik oleh Peguam Negara secara 'fiat' untuk mengetuai pendakwaan mengikut Seksyen 376(3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah serta Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. Surat pelantikan beliau ditandatangani Peguam Negara pada 2 julai tahun ini. Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar, 66, daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang memutuskan terdapat penetrasi zakar namun fakta itu tidak disokong bukti lain. Oleh itu, Mohamad Diah berkata mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti tentang kewibawaan sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Mohd Saiful kerana ia mungkin diganggu sebelum sampai ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. -- BERNAMA