Khamis, November 14, 2013
KERAJAAN BINA TERUSAN BAGI KEMUDAHAN INDUSTRI BESI DI KEMAMAN
KEMAMAN, 14 Nov (Bernama) -- Sebuah terusan sepanjang dua kilometer
dianggarkan bernilai RM20 juta, akan dibina oleh kerajaan Terengganu untuk
memudahkan laluan tongkang dan kapal, bermula dari Kampung Kemunting hingga
Sungai Bukit Kuang dalam kawasan industri Teluk Kalong, di sini.
Pembinaan terusan itu yang melalui jajaran Sungai Bukit Kuang, melibatkan
pelebaran dan mendalamkan dasar sungai berkenaan bagi memudahkan operasi sektor
industri, khususnya berkaitan besi keluli di kawasan berkenaan.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata projek pembinaan terusan itu
dijangka bermula pada suku pertama tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh
setahun.
"Mengikut perancangan, terusan itu akan dibina dengan keluasan 150 meter,
dan kedalaman air lapan meter, bagi memudahkan laluan kapal dan tongkang ke
kawasan perindustrian berkenaan.
"Pembinaan terusan itu juga sebagai sebahagian kemudahan yang disediakan
kerajaan negeri kepada pelabur dalam industri besi untuk menjimatkan kos
pengangkutan bagi mengangkut pelbagai barang ke kilang di kawasan industri itu,"
katanya kepada pemberita selepas meninjau Sungai Bukit Kuang yang akan menjadi
tapak jajaran pembinaan terusan berkenaan.
Katanya beberapa pelabur yang bakal membuka kilang besi di Teluk Kalong
menyuarakan kelegaan mereka dengan kemudahan itu.
Beliau berkata jika tiada masalah, projek itu akan dimulakan pada suku
pertama tahun depan, dan dijangka siap dalam tempoh setahun.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis pembahagian dana raya kepada
penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ahmad berkata kerajaan
negeri juga dijangka menerima pelaburan asing bernilai RM16 bilion dari
syarikat di Amerika Syarikat yang berminat melabur dalam industri besi di Teluk
Kalong menjelang tahun depan.
Katanya pembukaan kilang berkenaan dijangka menyediakan 5,000 peluang
pekerjaan mahir dan separuh mahir kepada anak Terengganu.
"Sebuah syarikat dari Korea yang akan menjalin usaha sama dengan syarikat
tempatan juga sudah bersetuju membuka kilang besi di Teluk kalong, melibatkan
nilai pelaburan RM6.6 bilion.
"Jika menjadi kenyataan, projek itu merupakan kilang besi ketiga yang
beroperasi di Teluk kalong dan menyediakan 2,000 peluang pekerjaan kepada anak
tempatan," katanya.
-- BERNAMA