Selasa, September 24, 2013

WAN HAKIM CETUS GERAKAN TRANSFORMASI?

KEMAMAN: Transformasi hendaklah bermula dari cawangan. Tetapi apabila ia bermula di Bahagian, ia sepatutnya bermula dari jawatan Ketua Bahagian. Sebaliknya ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar, 45, menggunakan slogan “Gerakan Pencetus Transformasi” dalam pertandingan Naib Ketua Bahagian Umno Kemaman pada 19 Oktober depan. Beliau akan melawan penyandang, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. Ahmad, 57, dicabar bekas penghulu, Mat Dalam Awang, 60, bagi jawatan Ketua Bahagian. Sepatutnya Mat Dalam yang mencetuskan transformasi ini. Sebaliknya Wan Hakim yang menggunakan slogan ini. Wan Ahmad Nizam adalah proksi Ahmad Said tetapi Wan Hakim bukanlah proksi Mat Dalam. Mat Dalam dan Wan Hakim bukannya beregu dalam pemilihan 19 Oktober. Mereka bergerak berasingan. Hanya jawatan Timbalan Ketua Bahagian yang disandang Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding. Ahmad Shabery rasa lega kerana beliau tak perlu fikir soal pertandingan di Bahagian sebaliknya menumpukan pertandingan di peringkat majlis tertinggi. Pada zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Ketua Bahagian, jawatan utama parti sudah diatur. Tetapi bermula dari tahun 2000, jawatan utama di Umno Kemaman sudah tidak diatur lagi. Ahmad Said memecahkan tradisi ini apabila beliau selaku Naib Ketua Bahagian mencabar Pemangku Ketua Bahagian, Datuk Abu Bakar Ali. Dalam pertandingan berakit itu, Ahmad menang bersama Ahmad Shaery Cheek (timbalan) dan Datuk Md Rahim Husin (naib ketua). Pada tahun 2004, ketiga-tiga penyandang jawatan utama, Ahmad Said, Ahmad Shabery Cheek dan Md Rahim menang tanpa bertanding. Pada tahun 2008, Ahmad Said dan Ahmad Shabery mengekalkan lagi jawatan tanpa bertanding. Sebaliknya Wan Ahmad Nizam, Ketua Pemuda bahagian yang sudah habis umur pemuda menentang Md Rahim. Wan Ahmad Nizam yang tidak terpilih sebagai calon BN di Air Putih menang kerana beliau adalah Setiausaha Politik Menteri Besar. Pada pilihanraya umum 5 Mei lalu, Wan Ahmad Nizam tewas di DUN Cukai. Ini yang mendorong Wan Hakim yang kekal sebagai ADUN Air Putih buat penggal kedua mencetuskan gerakan transformasi dengan menentang Wan Ahmad Nizam bekas bossnya. Wan Hakim adalah lulusan Ijazah Sarjana muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat (Ivy League) pada tahun 1991. Beliau memperolehi ijazah Sarjana (MBA) dari Universiti London, England pada tahun 1992. Sebelum menceburi politik pada tahun 1997 sebagai Ketua Pemuda Umno cawangan Chukai,beliau adalah seorang ahli perniagaan di Kuala Lumpur. Pada tahun 2000, selepas Wan Ahmad Nizam menang jawatan Ketua Pemuda, beliau melantik Wan Hakim sebagai Bendahari Pemuda. Pada tahun 2008, Datuk Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu memilih Wan Hakim sebagai calon DUN Air Putih menggantikan Wan Ahmad Nizam yang menjadi wakil rakyat selama sepenggal sahaja. Wan Hakim tidak menyokong Ahmad Said ketika krisis Menteri Besar selepas pilihanraya umum 2008 kerana beliau terhutang budi kepada Idris yang memilihnya sebagai calon BN. Ahmad Said selaku Ketua Bahagian memang mahu Wan Ahmad Nizam kekal sebagai calon DUN Air Putih. Menjelang pilihanraya umum 2013, Wan Hakim dikatakan ditawarkan Ahmad Said bertanding di DUN Chukai (kawasan lama ayahandanya) tetapi beliau enggan berpindah ke situ kerana mahu kekal di Air Putih yang merupakan kerusi selamat. Maka Ahmad Said terpaksa meletakkan Wan Ahmad Nizam di DUN Chukai yang menyebabkan Wan Ahmad Nizam kalah teruk di tangan calon PAS, Hanafiah Mat yang menang dengan majoriti 2,446 undi. Percaturan politik Wan Hakim memang bijak. Kalau beliau berpindah ke DUN Chukai, beliau juga akan menerima nasib yang sama seperti Wan Ahmad Nizam. Nama Wan Hakim disebut akan dilantik sebagai Exco baru selepas Ahmad Said dikekalkan sebagai Menteri Besar buat penggal kedua tetapi nama ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman yang naik sebagai Exco mewakili Bahagian Kemaman. Kononnya Sultan Mizan tidak perkenan nama Wan Hakim sebagai Exco mewakili Bahagian Kemaman, maka Wan Hakim kekal sebagai ADUN biasa. Wan Mokhtar sentiasa menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian. Pada tahun 1998, Wan Mokhtar mahu dicabar Naib Ketua Cawangan Lot Seri Jaya, Mukhatar Abdul Rahman bagi jawatan Ketua Bahagian tetapi majlis tertinggi Umno memutuskan semua ahli majlis tertinggi tidak boleh dicabar maka selamatlah Wan Mokhtar. Kepimpinan Wan Mokhtar di Bahagian Kemaman tidak pernah teruji. Nampaknya Wan Hakim lebih berani dari Wan Mokhtar yang mencabar penyandang Naib Ketua Bahagian, Wan Ahmad Nizam. Ia adalah pertandingan kalah mati kerana jika beliau kalah kedudukannya sebagai calon Air Putih dalam pilihanraya umum akan datang sudah tentu berakhir, Sebaliknya kalau beliau menang dalam pertandingan ini, kerusi Air Putih kekal buat penggal ketiga pada pilihanraya umum 2018. Wan Hakim berani melawan arus dengan menentang proksi Ahmad Said. Siapakah yang jadi pilihan perwakilan Umno Bahagian Kemaman pada 19 Oktober ini? Adakah wakil rakyat (Wan Hakim) atau bukan wakil rakyat (Wan Ahmad Nizam)? Mampukah Wan Ahmad Nizam mengikut jejak langkah bossnya, Ahmad Said? Pada tahun 2000, Ahmad Said bukan wakil rakyat tetapi berjaya mengalahkan ADUN Kemasik, Abu Bakar Ali dengan majoriti nipis. Mampukah Wan Ahmad Nizam mengekalkan jawatannya walaupun beliau bukan wakil rakyat? Terpulang kepada perwakilan untuk menentukan nasib mereka.