Isnin, Ogos 19, 2013

UMNO SABAH AKAN BERKOMUNIKASI DENGAN UMNO SEMENANJUNG

KOTA KINABALU: Umno Sabah akan “berkomunikasi” dengan rakan Umno di Semenanjung berhubung kewajaran mencalonkan Ketua Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman bertanding satu daripada tiga jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini. “Sebagai pemimpin dari Sabah, kami mempunyai alasan kukuh dan kami berpendapat mereka dapat diyakinkan dan bersetuju dengan kami bahawa Musa pilihan terbaik untuk mengisi satu daripada tiga jawatan naib presiden,” kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubugan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, di sini hari ini. Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Yahya Hussin baru-baru ini bahawa Umno Sbah sudah bersedia menggerakkan jenteranya sekiranya Musa memutuskan bertanding jawatan itu. Yahya juga dipetik sebagai berkata setakat ini lebih 20 Bahagian Umno telah mengikrarkan sokongan padu kepada Musa, dan menambah Ketua Menteri ialah antara tiga calon teratas bagi jawatan Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan parti bagi dua penggal berturut-turut. “Sokongan padu daripada lebih 20 Bahagian itu atas keyakinan mereka terhadap keupayaan dan kapasiti Datuk Seri Musa sebagai pemimpin parti,” kata Timbalan Ketua Menteri. Salleh berkata kejayaan Musa menerajui Barisan Nasional (BN) Sabah mengekalkan kuasa di negeri ini dengan majoriti dua pertiga dengan memenangi 48 daripada 60 kawasan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, telah membuktikan komitmen, kerja keras dan kesetiaan beliau kepada parti. BN negeri juga memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah untuk menyumbang kepada pembentukan kerajaan BN di peringkat persekutuan. Salleh juga melahirkan keyakinan Musa akan mampu, bersama-sama dengan pemimpin yang lain, memperkukuhkan Umno untuk menang selesa dalam pilihan raya umum akan datang. 9dipetik dari freemalaysiatoday.com)
-Bernama