Jumaat, Julai 19, 2013
PRK KUALA BESUT 5
KUALA BESUT: Seramai 17,683 orang pengundi yang akan membuang undi pada pilihanraya kecil Kuala Besut pada 24 Julai ini berada dalam dilema sama ada mahu mengundi BN atau PAS terutamanya di kalangan ahli Umno.
Jika BN menang , Datuk Seri Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu. Ini bermakna kroni beliau semakin kaya. Sebaliknya jika BN kalah, pilihanraya umum negeri akan diadakan semula berikutan kedudukan 16-16 kerusi.
Di atas kertas, memang sukar PAS menang kerana majoriti undi yang dimenangi calon BN, Dr Abdul Rahman Mokhtar dua bulan lalu amat besar, 2,434 undi tetapi tidak mustahil PAS boleh buat kejutan kerana ia pernah menang pada tahun 1999.
Jika PAS menang, ia adalah kerana orang Umno yang mengundi PAS. Mereka marah pada Ahmad Said yang jadi Menteri Besar buat kali kedua sedangkan ketua bahagian mereka, Datuk Seri Idris Jusoh hanya menjadi Menteri Besar sepenggal sahaja.
Mereka berhujah sudah 25 tahun orang Kemaman (Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad) jadi Menteri Besar, dari tahun 1974-1999, kini jawatan itu masih disandang orang Kemaman lagi (Ahmad Said)(2008-kini)
“Adakah orang Besut layak jadi Menteri Besar sepenggal sahaja ?” kata seorang ahli Umno di Kuala Besut.
Kalau BN kalah, bukan sahaja Ahmad Said dapat malu malah Idris pun dapat malu kerana orang Kuala Besut tidak menghargai perlantikan Idris sebagai Menteri Pelajaran II oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebaliknya jika BN menang, bukan sahaja kedudukan Ahmad Said sebagai Menteri Besar kukuh malah masa depan Idris dalam politik nasional juga teguh. Jika Idris bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada Disember ini peluang Idris untuk menang amat cerah. Tambahan pula beliau adalah seorang Menteri Pelajaran.
Kita tentu masih ingat pilihanraya kecil Kuala Berang pada tahun 2004.Ketika itu Ketua Bahagian Umno Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putra Tengku Awang bekerja keras untuk menangkan calon BN, Cikgu Zawawi. Tengku Putra yang juga Timbalan Menteri Kewangan menang mudah dalam pertandingan ahli majlis tertinggi Umno pada hujung tahun.
Kemenangan calon BN di Kuala Berang melonjakkan nama Tengku Putra yang pertama kali bertanding terus menang jawatan ahli majlis tertinggi Umno. Pilihanraya kecil itu menjadi medan kepada semua calon majlis tertinggi berkempen kerana semua ahli Umno di seluruh negara berkampung di Kuala Berang.
Senario yang sama berlaku di Kuala Besut di mana ia menjadi medan calon-calon ahli majlis tertinggi berkempen menemui semua ahli Umno dari seluruh negara yang berkampung di situ.
Pada pilihanraya kecil ini, calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Rahman berhadapan dengan calon PAS, Azlan Yusof atau Che Long.
Che Long dikatakan amat popular di kalangan masyarakat Kuala Besut kerana dia adalah seorang dermawan. Manakala Tengku Zaihan dikatakan bersekolah di luar dan bekerja di luar juga.
Malah beliau dikatakan punca 2000 keluarga petani tidak dapat menanam sawah padi kerana beliau gagal membaikpulih empangan yang mengalirkan air ke sawah padi ketika beliau menjadi jurutera JPS.
Isu tanah yang dibangkitkan PAS telah dijawab Ahmad Said. Katanya, tak salah ADUN menerima tanah kerana rakyat pun menerima tanah.
Memanglah ia tak salah tetapi alangkah baik dasar bekas Menteri Besar, Wan Mokhtar yang tidak membenarkan ADUN yang sedang bertugas mohon tanah dikekalkan kerana ia tidak menimbulkan prasangka di kalangan rakyat.
ADUN Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata apabila BN menang pada tahun 2004, banyak tanah TOL yang diberi oleh kerajaan PAS dibatalkan.
Beliau tahu kerana ketika PAS memerintah Terengganu, beliau pernah menjadi Pengarah Tanah dan Galian negeri.
24 Julai tinggal enam hari lagi. Ia memang menjadi dilema kepada pengundi Kuala Besut sama ada mahu mengekalkan BN atau memilih PAS.