Isnin, Julai 15, 2013

EMPAT PERKARA UTAMA ASAS AKTA KEHARMONIAN NASIONAL

Akta Keharmonian Nasional yang mungkin menggantikan Akta Hasutan 1948 akan menitikberatkan empat perkara utama sekali gus mengekang mana-mana pihak daripada terus mempertikaikan peruntukan undang-undang tersebut yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, empat perkara itu meliputi kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. "Akta Hasutan telah diputuskan untuk dipinda kepada satu akta yang mungkin dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional yang tidak akan berkompromi terhadap empat perkara utama dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan tahlil serta solat Maghrib di Masjid Al-Khairiah di pekan Selekoh di sini semalam. Pada 11 Julai tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan 1948 yang antara lain bertujuan mencari mekanisme keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warganegara serta menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini. Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Terengganu, Ahmad Zahid berkata, Barisan Nasional (BN) perlu mempertahankan kerusi itu bagi meneruskan kesinambungan pemerintahan kerajaan negeri itu. Sehubungan itu, katanya, berbekalkan pertolongan jentera parti dari negeri-negeri lain, beliau optimis BN mampu mengekalkan kemenangan di sana. "Saya amat yakin dengan kemampuan kepemimpinan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggalas tugas sebagai Pengarah PRK (BN DUN Kuala Besut) kali ini dan dibantu oleh Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai timbalannya. "Mereka mengetahui beberapa aspek yang harus diberikan perhatian sepanjang kempen pilihan raya kecil itu berlangsung," katanya. Hari pengundian PRK DUN Kuala Besut yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 24 Julai ini menyaksikan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera menentang calon Pas, Endot@Azlan Jusoh, seorang ahli perniagaan.