Rabu, Ogos 08, 2012

PERKASA PERSOAL HUKUM AHLI PAS UNDI DAP

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mempersoalkan hukum dalam Islam mengenai tindakan ahli Pas mengundi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang. Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, persoalan itu perlu dijawab oleh Pas kerana jelas Pengerusi DAP, Karpal Singh dan keseluruhan pemimpin parti tersebut ketika ini menentang keras penubuhan sebuah negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud. Beliau berkata, begitu juga dengan hukum daripada sudut syarak mengenai arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi Pas seperti Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta ahli-ahli parti mereka mengundi DAP. ''Adakah ia dibolehkan atau tidak, memandangkan DAP terang-terang mengecam penubuhan negara Islam dan hukum hudud. Ini bukan soal Pas, tetapi kecaman yang dibuat oleh Karpal itu jelas melibatkan kesucian Islam dan kepentingan umat Islam. ''Satu perkara lagi, dahulu ada kepercayaan di kalangan ahli Pas khususnya semasa diadakan kempen-kempen pilihan raya iaitu mengundi Pas masuk syurga, namun kini timbul pula persoalan apa pula hukum mengundi DAP dalam keadaan DAP menolak negara Islam,'' katanya
di sini. Beliau mengulas ketegasan Karpal bahawa DAP akan menentang habis-habisan sebarang cubaan melaksanakan hukum hudud jika pembangkang menang pada pilihan raya akan datang. Kontroversi pelaksanaan hukum hudud timbul semula berikutan dakwaan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hasan kononnya DAP kini memahami dan menerima pendirian parti itu mengenai negara Islam tetapi ia segera disanggah Karpal dengan menegaskan beliau tidak akan bertolak-ansur dalam isu pelaksanaan hukum tersebut. Dalam perkembangan berkaitan, Ibrahim menyeru umat Islam negara ini bangkit mempertahankan Islam daripada terus diperlekehkan oleh DAP melalui kenyataan-kenyataan yang melampau daripada Karpal. Beliau berkata, langkah itu wajar memandangkan Karpal ketika ini langsung tidak menghormati Islam dan undang-undang yang terkandung di dalamnya. Apatah lagi, katanya, dalam keadaan Pas yang kononnya memperjuangkan Islam sudah tidak mampu melakukan apa-apa tindakan terhadap DAP dan Karpal walaupun kecaman tersebut jelas menyentuh kesucian Islam. ''Pembentukan sebuah negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud merupakan asas akidah umat Islam dan ia tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa pun. Soal pelaksanaan itu soal lain tetapi yang penting dua perkara ini merupakan asas akidah Islam ''Siapa Karpal mahu mempersoalkan perkara itu. Oleh itu, kita wajib bangkit mempertahankan. Ini merupakan satu jihad. Pas tidak lagi boleh diharapkan. Mereka nampaknya terlalu taat dan takut kepada DAP,'' katanya. Menyentuh isu sama, Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, tiada jalan lain yang harus diambil oleh parti itu kecuali segera keluar daripada pakatan pembangkang. Beliau berkata, berdasarkan sejarah yang berlaku di Perak selepas pilihan raya umum 2008. Pas hanya sekadar menjadi 'pak turut' kepada DAP walaupun Menteri Besar ketika itu merupakan wakil rakyat daripada Pas. ''Inilah yang berlaku sebenarnya. Dalam isu pemerintahan di Perak ketika pakatan memerintah, DAP lebih berkuasa dan dominan. Pas tidak mampu berbuat apa-apa dan parti itu tidak lebih hanya sebagai 'pak turut','' katanya.