Khamis, Mac 29, 2012

SUARA DAIM TETAP DIDENGAR


Petang semalam sedang berbual dengan Kisfi Zainal di Restoran Nagas, datang seorang lelaki berkaca mata di meja kami. Dia menegur Kisfi tapi Kisfi sudah lupa siapa namanya walaupun Kisfi tahu dia adalah orang Kuala Terengganu.

Dia pun memperkenalkan dirinya sebagai Rosdin berasal dari Ladang, Kuala Terengganu.Dia kini bekerja dengan Tun Daim Zainuddin. Beliau dulu pernah bekerja dengan MRCB. Dia mengenali Daim selepas Daim menjadi Menteri Kewangan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno.

Cara dia mengenali Daim agak unik. Setelah berpindah ke Taman Bukit Mas, pada suatu petang dia pergi ke surau. Malam tu malam Jumaat. Dia nampak ramai orang berkunjung ke surau itu. Dia ternampak Daim ada sama di surau itu. Petang esoknya dia pergi ke surau itu lagi.Tapi surau itu terkunci. Jaga pun beritahu surau itu dibuka setiap malam jumaat sahaja.

malam jumaat berikutnya dia ke surau Daim lagi. setiap minggu dia berkunjung ke surau Daim. Hampir setahun dia tak pernah bercakap dengan Daim dan Daim pun tak pernah menegurnya walaupun mereka berjumpa di surau itu.

Pada suatu petang Daim menegurnya. Maka dia pun menjadi kenalan Daim yang baru. Bila Daim tanya buat apa sekarang, dia kata tiada kerja, maka Daim ajak dia bekerja dengannya.

Daim adalah seorang peguam yang akhirnya menjadi ahli perniagaan. Dia kawan Datuk Manan Osman, bekas menteri dari Terengganu ketika sama-sama belajar di London. Mananlah yang memperkenalkan Daim kepada Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau pernah bangkrap dalam perniagaan garam. MB Selangor, Datuk Harun Idris yang memberi tanah kepada Daim untuk dimajukan sebagai Taman Maluri. Selepas itu Daim naik dalam perniagaannya.

Daim terhutang budi kepada Harun walaupun Harun pernah menyertai Semangat 46. Di suraunya diadakan tahlil setiap malam Jumaat. Daim tidak pernah melupakan supaya tahlil diadakan untuk Datuk Harun.

Walaupun Daim bukan lagi menteri tetapi Daim masih dihormati. Suara Daim tetap didengar, Bila Daim batuk saham BSKL jatuh merudum sampai ramai orang Cina bunuh diri.Itulah kehebatan Daim.

Kononnya Anwar ketika dipenjara telah memanggil Azmin Ali supaya pergi bertemu Daim. Anwar kata hanya Daim yang dapat melepaskannya dari penjara. Azmin dapat menemui Daim di luar negara. Daim menemui Pak Lah dan meminta Pak Lah melepaskan Anwar dari penjara. begitulah pengaruh Daim dalam politik Malaysia.

Menjelang pilihanraya umum 2008, Daim kata lima negeri akan tumbang, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah selain Kelantan, semua orang tak percaya dengan kenyataan Daim. Akhirnya ramalan Daim menjadi kenyataan.

Daim tak pernah datang ke Kuala Terengganu sewaktu menjadi Menteri Kewangan. Katanya, Wan Mokhtar tak pernah menemuinya di pejabatnya. Wan Mokhtar hanya menemui PM sahaja. Baru-baru ini dia dijemput ke UMT beri ceramah. Rosdin yang mengatur ceramah itu setelah diminta rakan pensyarah UMT. Daim terkejut kerana banyak duit royalti minyak dihabiskan untuk membina Taman Tamaddun Islam. Alangkah ruginya duit dihabiskan kepada benda yang tidak mendatangkan faedah kepada rakyat.

Ramai ahli politik yang tahu Rosdin rapat dengan Daim. Mereka gunakan Rosdin untuk minta pertolongan Daim. saya teringat pada cerita Datuk Ibrahim Ali. Dia dah lama jadi ahli parlimen BN tanpa sebarang jawatan. Jadi Ibrahim mengadap Daim untuk memberitahu PM supaya melantiknya sebagai setiausaha parlimen. Selepas itu PM umum perlantikan Ibrahim sebagai setiausaha parlimen kementerian pembangunan luar bandar.

Baru-baru ini Daim mengeluarkan kenyataan bahawa Negeri Sembilan sukar dipertahankan BN. Sejauh mana ramalan Daim menjadi kenyataan kali ini? Kita tunggu dan lihat. Sesungguhnya suara Daim tetap didengar walaupun dia tiada lagi tempat dalam kerajaan BN.