Ahad, September 04, 2011
PANDIKAR KM BARU SABAH?
Kelapa Mawar dalam Rontogdaily.com menulis kemungkinan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah bagi meredakan perebutan kuasa di antara Musa Aman dengan Shafie Afdal.
Ikutilah tulisan Kelapa Mawar sepertimana berikut:-
Seorang pemerhati politik Kota Belud yang juga seorang pejuang sejak dari zaman USNO, BERJAYA, PBS dan kini UMNO ‘meramalkan’ YDP Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin berpotensi untuk menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah setelah menimbangkan pergolakan politik Sabah sejak akhir-akhir ini.
Sambil menyifatkan bahawa Tan Sri Pandikar Amin adalah satu-satunya personaliti politikus Sabah yang bebas dari kontroversi serta skandal melibatkan kepentingan rakyat, besar kemungkinan Najib akan membuat kejutan pada politik sabah selepas PRU 13 akan datang.
Menyedari bahawa perkembangan politik sabah terutama dalam UMNO yang berpecah kepada dua team besar melibatkan Datuk Musa Aman dan datuk Shafie Apdal, kemudiannya pergolakan BN Sabah yang mencetuskan ketegangan melalui beberapa tuntutan dan reaksi LDP terhadap kepimpinan Musa Aman di Sabah, satu jangkaan luar batas kebiasaan politik di sabah akan dilakukan oleh Najib.
Datuk Salleh yang sebelum ini dilihat punya potensi besar dalam merebut kembali kerusi Ketua Menteri sabah diramalkan tidak akan menjadi pilihan Najib setelah Speaker Dewan Undangan Negeri ini menunjukkan kerelaan bekerjasama dengan Musa Aman sekali gus dilabel sebagai rakan kongsi dalam team Musa Aman.
Manakala Datuk Shafie Apdal pula bersama Datuk Hajiji dan beberapa orang dari mantan pemimpin USNO yang menyertai UMNO juga tidak akan menjadi pilihan Najib untuk Kerusi Ketua Menteri Sabah untuk mewujudkan keadilan dan membuktikan bahawa Najib tidak ‘menaja’ kumpulan mana-mana dalam UMNO dan BN sabah.
Oleh kerana itu, menurut pemerhati politik KB ini, TSP dilihat adalah calon terbaik setelah menunjukkan beberapa tanda kesetiaan terhadap pucuk pimpinan UMNO pusat termasuk sanggup membubarkan AKAR meskipun parti multi itu merupakan parti tertua dalam BN Sabah pada waktu tersebut. Kemudiannya, kesanggupan TSP menjadi ahli UMNO juga dianggap sebagai tanda kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.
Tidak terpinggir dengan pengalaman sedia ada, TSP juga pernah beberapa kali memegang portfolio penting peringkat negeri seperti menteri Kerja Raya dan menteri pertanian dan perikanan, manakala di peringkat pusat TSP pernah memegang portfolio penting di Jabatan Perdana Menteri ketika era Tun Mahathir dan memainkan peranan penting dalam pembebasan tebusan rakyat Malaysia di selatan Filipina.
Apabila TSP digugurkan pada PRU 12 yang lepas, beliau telah dilantik sebagai YDP Dewan Rakyat dan sebelum ini juga pernah menyandang speaker Dewan Undangan negeri. Dianugerahkan pingat tertinggi kerajaan Negeri Sabah yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima dan pernah diramalkan akan dilantik ke jawatan TYT negeri Sabah, namun tidak menjadi kenyataan apabila Datuk Juhar dilantik ke jawatan tersebut.
Memikirkan krebibiliti dan potensi besar itu, TSP dijangka akan bertanding pada PRU 13 akan datang di peringkat DUN untuk membolehkan beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru. Hujah terakhir yang diutarakan ialah UMNO pernah mendapatkan khidmat Tun Gaffar Baba untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO sebagai meredakan ketegangan puak dan team dalam parti itu. Apakah TSP kali ini akan senasib seperti Tun Gaffar Baba? Hanya Najib yang boleh menceritakannya.
Kebetulan 15 Jun lalu saya pernah menemubual Pandikar Amin yang sedia menurut perintah, jika diperintah dia sedia bertanding semula dalam pilihanraya. Ikuti tuisan saya dalam blog ini seperti mana berikut:-
Semalam saya menemui Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Saya kenali beliau sejak duduk di Sabah pada tahun 1989 lagi. Ketika itu beliau adalah Senator dari PBS dan akhirnya meninggalkan PBS dan menubuhkan Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) bersama Datuk Mark Koding.
Sudah tiga tahun saya tidak menemui beliau. Ketika beliau mula-mula dilantik sebagai Speaker saya yang bekerja dengan akhbar Watan ketika itu sempat menemuramahnya. Senalam saya berkunjung sebagai kawan lama.
Ketika ditanya, beliau berkata terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukan kedudukannya.
"Jika BN suruh saya bertanding, saya bertanding dalam pilihanraya umum akan datang," kata beliau yang terpaksa bersara dari politik buat seketika setelah dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat. Tan Sri Pandikar yang ketika itu Ketua UMNO Bahagian Marudu meletakkan jawatan kerana mahu beri tumpuan sebagai Speaker Dewan Rakyat.
Katanya, sebagai Speaker kita jangan aktif dalam politik nanti ahli parlimen pembangkang kata kita berat sebelah.
Sejak beliau meletakkan jawatan dalam UMNO, beliau dihormati oleh kawan dan lawan sepanjang mengendalikan persidangan Dewan Rakyat.
Tan Sri Pandikar Amin berkata sebagai ahli UMNO, beliau patuu kepada arahan parti.
"kalau parti tidak suruh saya bertanding, saya tak bertanding tetapi saya akan bantu calon BN menangi pilihanraya," katanya lagi.
Beliau yang pernah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri pernah memukau Dewan Rakyat kerana berjaya mematahkan hujah ahli parlimen pembangkang. UMNO Sabah kini memilihi dua orang menteri tetapi mereka (Datuk Seri Shafie Afdal dan Datuk Anipah Aman) tidak dapat menandingi kehebatan Pandikar ketika menjawab soalan pembangkang di Dewan Rakyat.
Justru itu jika beliau aktif semula dalam parti, ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana prestasi beliau tidak kira di mana tetap bersinar baik sebagai menteri di pusat, menteri di negeri atau Speaker Dewan Rakyat.
Ulasan saya, jika Pandikar Amin jadi KM Sabah, dia memang layak kerana dia pernah berkhidmat sebagai menteri pusat malah sebagai menteri negeri. Kalau bertanding di peringkat DUN semata-mata untuk jadi menteri sahaja memang tidak wajar buat beliau. Maka jawatan KM Sabahlah yang paling layak buat beliau untuk meredakan suasana perebutan kuasa antara Musa dengan Shafie.