Khamis, Ogos 25, 2011

JANGAN BACA KISAH INI


Jangan baca kisah ini jika anda tidak percaya kepada alam misteri. Setiap kali Haji Mail datang ke Kuala Lumpur, dia menumpang tidur di bilik saya di Taman Samudra. Setiap kali dia datang ke KL biasanya sampai satu minggu.

Saya tak tahu apa urusan Haji Mail di KL sehinggalah minggu lepas saya sakit baru saya tahu apa urusannya di sini.Biasanya saya keluar awal pagi, Haji Mail masih tidur (selepas dia solat subuh di surau). Bila dia balik pada waktu malam, saya sudah tidur. Walaupun kami duduk sebilik, kami jarang berjumpa.

Minggu lepas sewaktu saya sakit, saya berehat di bilik. Masa itu dia cerita apa yang dilakukannya. Dia urus jualbeli barang kebal tidak kira apa saja barang sama ada batu delima atau rantai babi(RB) atau apa saja senjata yang disahkan kebal.

Dia ada pembeli dari sebuah yayasan yang berada di luar negara. Yayasan itu sanggup membeli sebiji batu delima dengan harga RM10 juta.Tetapi wakil yayasan itu duduk di Seremban bernama Datuk Ihsan.

Maka Haji Mail menyuruh kawannya di Kelang, Armazi mencari orang yang ada barang kebal.Bila sudah ada penjual, maka Haji Mail menghubungi Datuk Ihsan melalui Kassim yang duduk di Singapura. Kassimlah yang mengenali Datuk Ihsan.

Haji Mail ajak saya ikut sama untuk melihat urusniaga itu dengan jemaahnya yang terdiri dari 10 orang dalam satu urusan pindahmilik batu delima di sebuah kampung di Jeram, Kuala Selangor.

Pak Hamid seorang bomoh terkenal di kampung itu memiliki beberapa barang yang dikatakan kebal seperti batu delima dan RB. Datuk Ihsan memang berminat membeli batu delima. Maka beliau kena bawa pengeras RM100, buah delima dan bunga melati putih.

Untuk membeli RB, kena sembelih seekor ayam jantan yang ada taji tetapi tidak boleh baca bismillah ketika menyembelihnya. Datuk Ihsan tidak sanggup sembelih ayam itu tanpa membaca bismillah, maka dia tak jadi beli RB.

Setiap benda yang kebal ada penunggunya atau khadamnya. Maka pada hari pertama Datuk Ihsan berjumpa dengan Pak Hamid untuk berkenalan terlebih dahulu.Pak Hamid kena tanya khadam batu delima itu sama ada dia sanggup dipindahmilikkan kepada pemilik baru pada hari esoknya.

Maka Datuk Ihsan terpaksa datang pada hari kedua untuk menguji sejauh mana kebalnya batu delima itu. Pak Hamid mahu Datuk Ihsan sendiri menguji kekebalan batu delima itu.Pak Hamid suruh Datuk Ihsan genggam batu itu selama dua minit. Bila auranya sudah datang, maka Datuk Ihsan kenalah potong rambutnya dengan pisau cukur. Jika rambut itu tidak putus, bermakna keballah batu delima itu. Jika rambut itu putus, maka bermakna tidak keballah batu delima itu.

Sebagai pembeli barang kebal, Datuk Ihsan pun bukan sebarangan orang. Dia sendiri ada khadam yang dikatakan berasal dari bahtera Nabi Nuh.Betapa lamanya khadam beliau. Khadam otai seperti itu sudah tentu digeruni oleh khadam batu delima yang junior.

Sewaktu ujian itu dijalankan, beberapa kali Datuk Ihsan tidak merasa apa walaupun dia sudah genggam batu delima itu. Maka Pak Hamid genggam batu delima itu dan dia suruh Datuk Ihsan potong sendiri rambut Pak Hamid. Bila aura sudah terasa di tangan Pak Hamid, Pak Hamid suruh Datuk Ihsan potong rambut Pak Hamid. Terkejut semua orang bila rambut Pak Hamid putus. Maknanya batu delima di tangan Pak Hamid tidak kebal.

Maka berkecailah harapan Pak Hamid untuk mendapat RM2 juta pada hari itu kerana dia mahu menjual batu delima itu pada harga tersebut.

Yayasan itu mahu membelinya dengan harga RM10 juta.Baki RM8 juta akan dibahagi dua, Pak Hamid RM4 juta manakala bakinya sebanyak RM4 juta lagi dibahagi di kalangan 10 orang ahli jemaah sebanyak RM400,000 seorang.Jika batu delima itu kebal, Pak Hamid dapat RM6 juta pada hari itu. Tetapi memang tidak ada rezeki Pak Hamid dan 10 orang ahli jemaah.

Seorang ahli jemaah, Aman seorang mualaf yang diberi kelebihan Allah dapat melihat jin, nampak khadam batu delima itu duduk di luar rumah ketika ujian sedang dijalankan di dalam rumah. Manakala khadam Datuk Ihsan duduk bersila seperti Datuk Ihsan. Ini bermakna khadam batu delima takut kepada khadam Datuk Ihsan.

Datuk Ihsan yang sudah bersiap sedia dengan peguam dan akauntannya akan membuat bayaran pada hari yang sama jika batu delima itu disahkan kebal. Tetapi oleh kerana batu delima itu disahkan tidak kebal, maka semuanya kecewa tidak dapat duit hari raya. Memang tidak ada rezeki Pak Hamid dan 10 orang ahli jemaah. Lebih-lebih lagi Haji Mail yang paling kecewa meninggalkan anak isteri di bulan Ramadhan di kampung tetapi usahanya tidak menjadi.

Belum ada rezeki Haji Mail nampaknya. Bagi anda yang percaya alam misteri, anda carilah barang kebal. Jika disahkan kebal, anda akan jadi jutawan segera. Bagi anda yang tidak percaya kepada alam misteri, tak payahlah buat kerja seperti ini.Buang masa dan buang duit sahaja.