Khamis, Julai 14, 2011
GARA-GARA BERSIH: PAVILION KL RUGI
Gedung beli-belah mewah Pavilion KL menganggarkan kerugian kira-kira 60 peratus pengunjung Sabtu lepas ekoran perhimpunan haram di pusat bandar.
Ketua pegawai eksekutif runcit Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd, Joyce Yap berkata perniagaan di gedung itu terjejas teruk pada hari Sabtu memandangkan kebanyakan peruncit memilih untuk menutup premis masing-masing atas sebab keselamatan dan pekerja mereka juga gagal hadir bekerja pada masa yang ditetapkan.
"Dalam perjanjian, sebenarnya tiada satu penyewapun dibenarkan menutup kedai tetapi di bawah situasi ini, kami tiada pilihan. Disebabkan alasan keselamatan ini, mereka dikecualikan," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan "Global Footprint: A Photography Exhibition" oleh Yang Yuan Xing di gedung itu di sini Rabu.
Beliau berkata gedung beli-belah itu juga menanggung kos tambahan kerana ia perlu mengambil lebih ramai tenaga kerja dan meletakkan lebih banyak penghalang bagi memastikan keselamatan di pusat beli-belah.
Ditanya sama ada Pavilion KL akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur demonstrasi itu, Yap berkata perkara itu perlu dirujuk kepada jabatan litigasi jika ada asas untuk berbuat demikian.
"Jika peruncit tidak menuntut apa-apa, kami juga tidak akan berbuat demikian."
Sementara itu Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen melancarkan pameran fotografi yang berlangsung selama dua hari itu. Kutipan hasil jualan foto akan disalurkan kepada Persatuan Austime Kebangsaan Malaysia.