Jumaat, Jun 10, 2011

PAS PERLU MINTA MAAF


PAS, yang selama ini memperjuangkan dasar menegakkan Islam sebelum menggantikannya dengan pendekatan negara berkebajikan, perlu meminta maaf kepada Umno kerana melemparkan pelbagai tuduhan terhadap parti itu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemimpin PAS sebelum ini lantang menuduh Umno dengan pelbagai gelaran, termasuk melabelkan parti itu sebagai kafir kerana tidak memperjuangkan negara Islam.

"Mereka menuduh Umno tidak betul tetapi baru-baru ini mengubah dan menyatakan perjuangan itu tidak ada dalam al-Quran dan yang ada ialah negara berkebajikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Usahawan Muda dan Jom Cari Kerja Kolej Komuniti Wilayah Timur di Kolej Komuniti Kuantan di sini Khamis.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap pada Muktamar Tahunan PAS ke-57 minggu lepas berkata PAS memberi tumpuan kepada negara berkebajikan kerana ia mempunyai kesamaan dengan apa yang diperjuangkan rakan komponen pakatan itu serta menyifatkan negara Islam tidak disebut dalam al-Quran.

Ditanya sama ada PAS perlu meminta maaf secara terbuka kepada Umno, Mohamed Khaled berkata itu terpulang kepada pucuk pimpinan PAS.