Jumaat, Jun 17, 2011
BUDAK TAMPAL POSTER JADI KETUA MENTERI
Sudah 10 tahun saya tidak menemui bekas Setiausaha Agung PRS, Datuk Ayub Aman. Beliau adalah abang kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman dan Menteri Luar, Datuk Anipah Aman.
Setiap kali saya berada di Kota Kinabalu, saya tetap mengunjungi Datuk Ayub di pejabatnya di Sabah Times, Sembulan. 10 tahun lalu saya datang ke Sabah, Datuk Musa belum jadi Ketua Menteri. Hari ini beliau sudah lapan tahun menerajui negeri Sabah.
"Musa pun tak pernah berangan jadi Ketua Menteri. Dia bukan orang politik. Tapi nasib menyebelahinya," kata Ayub yang kini berusia 71 tahun tetapi kelihatan masih tegap dan sihat.
Datuk Ayub yang pernah menjadi menteri pada zaman Berjaya memerintah Sabah menceritakan bahawa semasa beliau bertanding sebagai calon Berjaya pada tahun 1976, Musa yang tolong tampal posternya. Ramai orang Cina di Keningau masih ingat, "Itu adik Datuk yang tampal poster ke jadi CM sekarang?"
Di antara tiga beradik, Musa yang paling berjimat cermat. Sebab itu dia berjaya dalam bisnes. Musa tak pernah rancang jadi ahli politik. Ketika itu Tun Mustapha tanya orang Cina siapa yang boleh bantu USNO. Ketika itu ada rakan Cina Tun Mustapha mencadangkan nama Musa.
Musa minta nasihat abangnya, Ayub apabila Tun Mustapha panggilnya. Ayub kata pergilah. Tun Mustapha minta Musa bantu USNO dan beliau dilantik Bendahari USNO. Apabila UMNO masuk ke Sabah pada tahun 1991, Musa turut menyertai UMNO. Kerajaan sulung BN pada tahun 1994 setelah kerajaan PBS tumbang, Tun Sakaran Dandai menawarkan Musa jadi pembantu menteri. Beliau minta pandangan Ayub lagi. Ayub kata tolaklah kerana pembantu menteri tiada kuasa. Maka jawatan itu ditawarkan kepada kawan baiknya, Datuk Surady Kayong.
Ramai orang dalam UMNO yang dengkikan Musa, tetapi atas arahan Dr. Mahathir, Musa dilantik menjadi Pengarah Yayasan Sabah selepas itu. Apabila Datuk Chong Kah Kiat jadi Ketua Menteri, Musa dilantik Menteri Kewangan.Selepas giliran Chong berakhir sebagai Ketua Menteri, Musa dilantik Ketua menteri Sabah yang baru. Beliau adalah Ketua Menteri UMNO yang keempat selepas Tun Sakaran Dandai, Datuk Salleh Tun Said dan Datuk Osu Sukam.
Nasib Musa amat cerah. Pak Lah yang menjadi PM menghapuskan penggiliran Ketua Menteri. Maka kekallah beliau sebagai Ketua Menteri Sabah sehinggalah hari ini.
Mengulas krisis antara Musa dengan Datuk Shafie Afdal, Ayub menasihati Musa jangan melenting seperti Tan Sri Haris salleh. Sebab itu kita lihat Musa kurang bercakap dalam isu ini.
Menurut sumber, Shafie rasa dia sudah besar kerana dia Naib Presiden UMNO sedangkan Musa ahli majlis tertinggi UMNO. Sebagai menteri pusat, bila Shafie balik ke Sabah beliau perlu hormati Musa sebagai Ketua menteri walaupun dia menteri persekutuan.
Kekalkah Musa sebagai Ketua Menteri sabah dalam pilihanraya umum akan datang? Hanya PM yang tahu nasib beliau. Jika PM mahu Sabah dan Sarawak kekal sebagai fixed deposit BN, maka tak perlu Datuk Seri Najib bawa Musa ke pusat. Biarlah dia kekal di Sabah kerana jika Najib usik politik Sabah, silap-silap BN yang tidak kukuh di Semenanjung akan kalah di tangan Pakatan Rakyat.Jadi kekalkanlah Musa kecuali beliau sudah menyeleweng dari perjuangan asal BN.