Khamis, Februari 17, 2011
FINAS AKAN TERUS BANTU FILEM KITA
Perbadanan Filem Nasional (Finas) akan terus membantu pengeluaran, pemasaran dan promosi hasil seni negara terutama filem bagi mendorong perkembangan industri berkenaan, kata pengerusinya, Datuk Seri Salleh Said Keruak pada Rabu.
Salleh menyatakan gembiranya melihat industri filem Malaysia telah mencapai kemajuan besar, dengan beberapa filemnya mendapat pengiktirafan negara luar.
Mengenai sambutan terhadap filem tempatan, Salleh berkata beliau yakin sasaran kutipan jualan tiket panggung wayang RM100 juta untuk filem tempatan tahun ini akan dapat dicapai.
Kutipan itu meningkat dari RM51 juta sebagai hasil tayangan 26 filem pada 2009 kepada RM76 juta dari 29 filem tahun lepas, katanya semasa melancarkan siri baru televisyen, "kopi O" di sini.
Salleh mengulas gesaan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini agar Finas memperhebat usaha untuk menambah baik kualiti filem tempatan ke tahap antarabangsa, yang termasuk menetapkan sasaran hasil kutipan RM100 juta tahun ini sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI).
Sementara itu, sitkom "Kopi O" 13 episod itu sedang menjalani penggambaran di Sabah, yang menampilkan artis popular dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Siri itu terbitan Pentas Wayang Production berlatarbelakangkan sebuah kedai kopi di Tenom, sebuah daerah yang terkenal dengan produk kopinya, dan menampilkan watak-watak multirasial yang menghabiskan masa luang mereka di situ, sambil membincangkan realiti kehidupan harian, sentimen dan perpaduan di kalangan kumpulan etnik di Sabah.