Selasa, Januari 04, 2011
KJ UCAPKAN SELAMAT TINGGAL?
Akhirnya KJ buat keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi parlimen Rembau pada pilihanraya umum akan datang. Sebelum ini beliau pernah buat kenyataan tidak akan mempertahankan kerusi ketua pergerakan pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan akan datang.
Nampaknya KJ hanya menjadi ketua pemuda UMNO sepenggal. Ramai bersungut betapa lemahnya pemuda di bawah kepimpinan Khairy. Pemuda tidak berani, bacul menghadapi musuh-musuh orang Melayu. Yang lebih berani ialah Perkasa daripada pemuda UMNO.
Oleh itu kita kena hormati pendirian KJ. Percaturan politik KJ silap. Dia begitu ghairah menonjol di zaman bapa mertuanya jadi PM. Sepatutnya sewaktu Pak Lah jadi PM, KJ berdiam diri. Bila Pak Lah bersara, baru dia pegang jawatan Exco Pemuda. Lihatlah betapa cerdiknya Dr Mahathir yang tidak membenarkan anaknya aktif dalam politik masa dia jadi PM. Bila dia berhenti baru Mukhriz jadi Exco Pemuda.
KJ terlalu ghairah sewaktu Pak Lah di puncak kuasa. Pernah Dr Zambry mengucapkan terima kasih kepada Pak Lah yang memilihnya sebagai calon BN pada tahun 2004 sedangkan beliau adalah orang kuat Anwar Ibrahim. Pak Lah jawab, jangan ucap terima kasih kepada saya, ucap terima kasih kepada Khairy. Lihatlah betapa besarnya pengaruh KJ. Dia dapat menentukan calon.
Akhirnya di zaman Najib, KJ tidak dapat apa-apa walaupun menang dalam pertandingan ketua pemuda. Sebaliknya Mukhriz yang kalah dapat jawatan timbalan menteri. KJ dikatakan kecewa. Masa depannya gelap di zaman Najib apatah lagi Najib dikatakan banyak mendengar nasihat Dr Mahathir.
BN kalah teruk dalam pilihanraya umum 2008 kerana pemimpin BN sendiri menyampah dengan kerenah KJ dalam pentadbiran pak lah. BN menang tanpa majoriti dua pertiga. Akhirnya Pak Lah terpaksa berundur dan beri lalaun kepada Najib. Maka Najib buat keputusan drastik dengan tidak melantik KJ sebagai timbalan menteri yang sedikit sebanyak mengguris hati Pak Lah.
KJ nampak masa depannya dalam politik sudah berakhir. Maka dia buat keputusan tidak mempertahankan kerusi ketua pemuda UMNO dan kerusi parlimen Rembau. Atau dia sudah sedar kalau dia bertanding kerusi ketua pemuda, belum tentu dia menang. jadi lebih baik dia berundur secara terhormat.