Ahad, November 07, 2010

PBS MENANG KERANA ORANG MELAYU SETIA DENGAN BN


BN menang di Batu Sapi bukan kerana masyarakat Cina menolak calon Cina tetapi kerana pengundi Melayu setia dengan BN walaupun calon BN adalah orang Cina.

Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi kelmarin membuktikan masyarakat Cina di negara ini tidak dapat menerima pemimpin yang angkuh.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, perkara itu terbukti apabila calon Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang mendakwa mendapat sokongan 80 peratus pengundi Cina di kawasan itu kalah dengan memperoleh undi paling sedikit.

"Teck Lee hanya mendapat 20 peratus undi daripada pengundi Cina di kawasan terbabit dan ini menunjukkan pemimpin yang angkuh dan tidak mesra rakyat akan ditolak," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Majlis Ahli Seumur Hidup Gerakan di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, BN mengekalkan kerusi itu dengan majoriti besar 6,359 undi apabila calonnya, Datin Linda Tsen Thau Lin memperoleh 9,773 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ansaari Abdullah (3,414 undi) dan Teck Lee (2,031 undi).

Pada tarikh sama, BN turut merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dengan majoriti 1,190 undi apabila calonnya, Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi menewaskan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamed (4,134 undi).

Dalam pada itu, Tsu Koon memberitahu, keangkuhan Presiden SAPP itu terbukti apabila beliau sering menghentam kerajaan dalam ucapannya yang berapi-api sambil memainkan sentimen Sabah untuk penduduk Sabah.

"Apabila bekas Ketua Menteri Sabah itu dengan angkuh mendakwa bahawa partinya sahaja yang membela nasib rakyat negeri itu, pengundi akan mula mempersoalkan kewibawaan beliau kerana tidak berbuat apa-apa ketika berada dalam kerajaan," katanya.

Ditanya mengenai kemenangan di dua kawasan terbabit kelmarin, beliau berkata, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk BN bersikap berpuas hati.

"Seperti kata pepatah, kehadiran dua ekor burung pipit bukan bererti musim bunga sudah tiba.

"Ini kerana mungkin haiwan terbabit berada di situ disebabkan terselamat daripada cuaca dingin musim sejuk yang masih lagi belum berakhir," ujarnya.

Tegas beliau, jentera BN perlu terus menumpukan amalan pendekatan mesra rakyat seperti ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia sedikit sebanyak berjaya memenangi hati pengundi.

"Kemenangan ini juga kerana usaha Perdana Menteri mempromosikan gagasan 1Malaysia sudah ada kesannya, tetapi ini bukan jaminan kita akan terus menang kerana kesan ini belum sampai ke tahap yang cukup tinggi lagi.

"Kita perlu berusaha lebih gigih lagi bagi memastikan kesan gagasan 1Malaysia benar-benar dapat dirasai oleh pengundi," katanya.