Selasa, November 02, 2010

KU LI NAFI KHIANATI ORANG ASLI


Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan dakwaan PAS yang mengatakan beliau mengkhianati Orang Asli di negeri Kelantan.


Tengku Razaleigh berkata dakwaan bahawa beliau melarikan fail-fail mengandungi permohonan tanah golongan itu semasa membawa Semangat 46 keluar dari Angkatan Perpaduan Umah dan menyertai Umno adalah tidak benar sama sekali dan fail yang dikatakan itu juga sebenarnya tidak wujud.

"Benda ni tak betul... saya pun hairan mengapa orang yang mewakili parti Islam membuat pembohongan semacam itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengundi Cina di Kampung Sungai Buru, Tanah Putih di Gua Musang malam semalam.

Beliau berkata ketika itu terdapat ramai Orang Asli di Gua Musang dan beliau dipertanggungjawab untuk menjaga kebajikan masyarakat itu oleh Angkatan Perpaduan Umah yang ketika itu disertai PAS dan Semangat 46.

Bagaimanapun, katanya soal kebajikan Orang Asli termasuk soal pemberian tanah tidak pernah dibincangkan oleh jawatankuasa tertinggi gabungan parti itu yang turut disertai beliau dan Presiden PAS ketika itu Datuk Fadzil Noor.


Tengku Razaleigh berkata walaupun jentera PAS dilihat mula menyerang peribadinya, beliau tidak akan melakukan perkara yang sama terhadap calon PAS Dr Zulkefli Mohamad yang juga Pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang.

"Jika PAS nak serang (peribadi) itu mereka punya hal...dia tanggunglah (dosa)...kita hanya akan tetap menerangkan mengenai dasar kerajaan dan apa yang akan kita lakukan untuk kebajikan rakyat.

Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas Khamis ini menyaksikan pertandingan antara calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed, 44, dan calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusof, 49.

Kerusi DUN itu kosong ekoran kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima dari
PAS akibat barah usus pada 27 Sept lalu.