Selasa, Oktober 19, 2010

KALAU SEMUA IKHLAS,BN TERENGGANU TETAP MENANG


Kalau semua ikhlas dan jujur dengan kata-kata yang mereka ucap dalam konvensyen UMNO Terengganu minggu Sabtu lalu, BN Terengganu tetap menang dalam pilihanraya umum akan datang.

Janganlah ucapan ini sekadar lakonan sahaja. Di hadapan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, mereka setuju berdamai tetapi bila tiba pilihanraya, orang UMNO sendiri yang pangkah pembangkang kerana tidak mahu Ahmad Said kekal sebagai MB buat penggal kedua.

Oleh itu kita tunggu pilihanraya umum 2012 untuk lihat sejauh mana cakap mereka serupa bikin. Kita doakan apa yang mereka lafazkan dalam konvesyen itu diamalkan pada hari mengundi nanti. Jangan jadi seperti pilihanraya umum 1999 apabila ada calon BN pangkah PAS kerana tidak mahu calon BN yang bertanding di kampungnya menang. Kebetulan calon BN itu bertanding di DUN lain maka dia kena mengundi di DUN asalnya.Dia mahu calon BN itu kalah kerana dia yang bertanding di DUN lain sudah berangan jadi Exco bila BN memerintah nanti. Rupa-rupanya BN kalah di semua DUN kecuali empat DUN.

Umpama "biduk lalu, kiambang bertaut," itulah ungkapan yang digunakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bagi menggambarkan hubungan pemimpin Umno di negeri itu ketika ini.

Beliau berkata semangat perpaduan di kalangan golongan terbabit semakin pulih dan dirasai, termasuk wakil rakyat dan pemimpin parti apabila terdapat kesungguhan untuk bersatu, walaupun hubungan di antara mereka sebelum ini agak tegang.

"Saya harap masalah dulu dapat dilupakan. Bak kata orang, biduk lalu, kiambang bertaut. Kita sebagai pemimpin dan orang politik, perlu berjiwa besar.

"Jangan mudah berkecil hati, berasa hati atau berjauh hati, dan dalam masa yang sama, kita perlu berhati-hati," katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Terengganu 2010 semalam.

Konvensyen yang dirasmikan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein pagi tadi, disertai 1,200 peserta yang terdiri daripada pemimpin sayap parti serta jemputan khas.

Ahmad Said berkata konvensyen yang pertama kali diadakan di Terengganu sejak Pilihan Raya Umum 2008 itu, boleh dijadikan sebagai persediaan Umno negeri bagi mengikuti pemilihan parti di Kuala Lumpur Selasa depan, dan bekalan ketika menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Saya amat berpuas hati dengan persiapan dan resolusi yang dikemukakan perwakilan dari bahagian-bahagian yang bertujuan untuk mengukuhkan perjalanan dan kepimpinan Umno di Terengganu.

"Saya harap pemimpin di Terengganu, khususnya wakil rakyat, menjadikan harapan perwakilan ini sebagai, dan peluang untuk, muhasabah diri dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Sementara itu, sebanyak 19 resolusi dicapai dalam konvensyen yang bertujuan memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Selain itu, satu deklarasi, dinamakan Deklarasi Primula 2010, turut diputuskan serta diserahkan kepada Ahmad dan Hishammuddin, yang merupakan pengerusi badan perhubungan UMNO Terengganu.