Rabu, Oktober 27, 2010

DATIN LINDA TAK TAHU CAKAP DALAM BAHASA MELAYU?


Pengarah pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi BN, Datuk Seri Musa Aman menafikan calon BN tidak pandai bercakap bahasa Melayu.

Katanya, kebetulan Datin Linda Tsen ditemuramah dalam Bahasa Inggeris, maka beliau jawab dalam Bahasa Inggeris kepada wartawan.

"Oleh itu tidak benar bahawa beliau tidak tahu bercakap bahasa Melayu," katanya mengulas rungutan para pengundi bahawa mereka lebih menyenangi calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee yang fasih bercakap dalam bahasa Melayu.

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah berharap isu ini tidak menjejaskan undi para penyokong BN kerana sudah tentu PBS memilih calon yang dapat bercakap dalam banyak bahasa.

"Apatah lagi majoriti pengundi Batu sapi adalah orang Melayu, maka Dartin Tsen akan banyak berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Melayu," katanya lagi.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, parti pembangkang Sabah Parti Maju Sabah (SAPP) dan PKR.

Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) akan berdepan dengan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, yang juga bekas ketua menteri Sabah dan PKR diwakili peguam terkenal, Ansari Abdullah, yang juga Ketua PKR Tuaran.


Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari BN dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chong mendapat 9,479 undi menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing dengan majoriti 3,708 undi.