Rabu, September 22, 2010
PERKASA PATUT TANDING PILIHANRAYA
Nampaknya kehadiran Perkasa sebagai NGO Melayu amat ditakuti oleh semua pihak. Bukan sahaja bukan Melayu yang takut malah pemimpin UMNO turut bimbang dengan sambutan rakyat kepada Perkasa.
Tiga orang pemimpin UMNO iaitu Setiausaha Agung UMNO,Datuk Seri Tengku Adnan Mansor; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan ahli majlis tertinggi dilantik, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz sependapat bahawa Perkasa tidak menarik undi bukan Melayu terhadap BN.
Oleh itu ke mana Perkasa pergi selepas ini? Adakah Perkasa akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang? Sebagai NGO yang paling lantang memperjuangkan hak orang Melayu, Perkasa telah dilihat sebagai pengganti kepada UMNO. UMNO yang kini menjunjung konsep 1Malaysia dikatakan tidak selantang dahulu mempertahankan kedudukan orang Melayu. Maka orang Melayu yang kecewa dengan UMNO telah menyertai Perkasa.
Bila orang melayu bercakap tentang soal bangsa mereka, mereka dituduh rasis. Sebaliknya orang bukan Melayu bebas mempertikai hak orang Melayu. Pada hemat saya pada pilihanraya umum 2012, Perkasa patut bertanding dalam pilihanraya sebagai alternatif kepada UMNO.
Perkasa jangan bertanding di kerusi UMNO tetapi bertanding menentang calon BN yang terdiri dari calon MCA, MIC, Gerakan, UPKO yang mana majoriti kerusi itu terdiri daripada pengundi Melayu. Strategi inilah yang menyebabkan PKR menang dalam pilihanraya umum di kerusi yang ditandingi oleh BN dari bukan UMNO (MIC) seperti mana di Teluk Kemang.PKR meletakkan calon Melayu maka calon MIC tewas dalam pilihanraya umum lalu.
Saya kira ada 50 kerusi parlimen MCA, MIC,Gerakan yang bertanding di kerusi majoriti Melayu yang boleh ditandingi oleh Perkasa. Perkasa ada harapan untuk menang kerana undi orang melayu tidak akan pergi kepada PKR lagi sebaliknya mereka yang tidak memilih BN (wakil MCA, MIC dan Gerakan)akan memangkah Perkasa.
Jika Perkasa tidak diluluskan pendaftarannya sebagai parti politik, maka semua calon Perkasa hendaklah bertanding di seluruh negara sebagai calon Bebas. Perkasa tidak perlu tandingi di kerusi yang ditandingi oleh UMNO.
Maka Presidennya, Datuk Haji Ibrahim Ali perlu mencari kerusi di luar Kelantan menentang calon MCA atau MIC atau Gerakan. Beliau tidak boleh bertanding di Pasir Mas kerana UMNO akan menentang calon PAS di situ.
Sebaik-baiknya beliau menentang Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek di parlimen Labis. Kita akan lihat adakah pengundi Melayu akan pilih Presiden MCA atau Presiden Perkasa sebagai ahli parlimen Labis yang baru menggantikan anak Dr. Chua Soi Lek.