Rabu, September 29, 2010

KALAU GALAS KERUSI UMNO, ADAKAH TAKIYUDIN CADANG PAS JANGAN TANDING?


Pas mencadangkan supaya UMNO tidak meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, atas nama perpaduan orang Melayu.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, UMNO seharusnya menjadikan pilihan raya kecil DUN Galas untuk membuktikan keikhlasannya menyatukan orang Melayu sebagaimana didakwa sebelum ini.

Beliau berkata, jika UMNO boleh mengambil tindakan untuk tidak bertanding di kawasan DUN Penanti, Pulau Pinang atas pelbagai alasan, maka tindakan sama boleh dibuat di DUN Galas yang menjadi 'medan' persaingan antara dua parti Melayu itu.

Pada masa sama katanya, tindakan mengelak pertandingan dalam pilihan raya boleh menjimatkan wang dan masa yang diketahui umum menuntut perbelanjaan besar.

"Kalau nak betul-betul hasrat perpaduan, apa salahnya untuk pilihan raya kecil ini (UMNO tidak bertanding), untuk pilihan raya umum kita bincang semula, ini untuk menunjukkan keikhlasan dan 'solidariti' (perpaduan) antara dua parti Melayu ni, (UMNO) sepatutnya kompromi bagi kepada Pas.

"Lagipun, kalau BN menang, ia tidak banyak berubah kerusi dari 45 semua kerusi (jika menang) hanya menjadi tujuh kerusi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran 'Tortura' di Muzium Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persiapan Pas menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas selepas kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima semalam.

Takiyuddin yang juga Exco kerajaan negeri, bagaimanapun menafikan cadangannya itu membuktikan kelemahan Pas walaupun mengakui persaingan untuk mendapatkan kerusi DUN berkenaan sengit dan kedua-dua pihak berpeluang untuk memenangi kerusi tersebut.

"Cadangan ini bukan bermakna kita lemah, kalau perlu lawan kita lawan, lagipun ini kerusi Pas, tetapi jika tidak berlawan alangkah baiknya," katanya.

Mengulas cadangan Takiyuddin itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mat Yusoff Abd. Ghani ketika dihubungi berkata, cadangan tersebut menunjukkan Pas tersepit dan takut kehilangan kerusi berkenaan yang mungkin berjaya dirampas semula oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Selain itu katanya, Pas juga berkemungkinan bimbang kelemahan-kelemahan mereka di Gua Musang didedahkan oleh UMNO sekiranya pilihan raya kecil diadakan.

"Perpaduan dan pilihan raya dua perkara berbeza. Pilihan raya ada pertandingan kerana dengan adanya pertandingan itu kita akan mendapat suara majoriti yang diperlukan untuk membuat keputusan bukan sahaja melibatkan perpaduan tetapi banyak perkara lain berkepentingan rakyat," katanya.

Mengenai peluang UMNO dan BN pada pilihan raya kecil yang akan diadakan kelak, Mat Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri berkata, DUN Galas milik BN yang terlepas kepada Pas pada pilihan raya umum lalu.

"Jadi, kita nak balik dan insya-Allah BN akan menang," katanya.
Lucu juga mendengar cadangan Takiyudin ini. Jika kerusi DUN Galas milik UMNO, adakah beliau akan mencadangkan supaya pAS tidak bertanding?

Oleh itu cadangan Takiyudin tidak boleh diterima. Soal perpaduan Melayu soal lain, soal menghadapi pilihanraya kecil soal lain untuk mengisi kekosongan wakil rakyat.