Isnin, Ogos 23, 2010

JAMBATAN LANGKAWI-KUALA PERLIS DAN MELAKA-DUMAI JADI KE?


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju cadangan projek pembinaan jambatan kerana ia akan menjejaskan kecantikan dan keunikan pulau peranginan itu.

"Pulau Langkawi perlu kekal sebagai pulau, jika pulau hendak dijadikan (sebahagian daripada) daratan tidak sesuai,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berupa wang dan coklat dari Jetty Points kepada 120 anak yatim dan kanak-kanak istimewa di perkarangan Masjid Istiqamah Kuala Teriang di sini malam tadi.

Dua syarikat di Perlis telah mencadangkan untuk membina jambatan sejauh 48 kilometer menghubungkan Langkawi dan Kuala Perlis.

Jumaat lepas, Pengerusi Eksekutif Juruelit Sdn. Bhd., Kamarudin Husin berkata, pihaknya mempunyai kemampuan dana yang mencukupi untuk melaksanakan projek itu, termasuk pembinaan jambatan monorel.

Bekas Perdana Menteri itu merupakan perancang utama yang membangunkan Langkawi iaitu dari sebuah pulau yang tidak dikenali menjadi destinasi pelancongan yang unggul di negara ini dengan pelbagai produk pelancongan seperti Kereta Kabel, Galeria Perdana, Kota Mahsuri, Underwater World, Taman Burung dan Kompleks Kraf.

Bercakap tentang jambatan menghubungkan Pulau Langkawi dengan Kuala Perlis, saya teringat kepada kawan saya, Hasbullah yang terlibat dengan pembinaan jambatan antara Melaka (Malaysia) dengan Dumai (Sumatra). Hasbulah atau nama panggilannya, Saidi pernah mendapat liputan akhbar di seluruh negara kerana membantah harga yang terlalu tinggi ketika membeli kepala ikan tongkol di sebuah restoran nasi dagang terkenal di Chendering, Kuala Terengganu tidak lama dahulu.

Menurut Hasbulah, projek ini telah mendapat kelulusan dari kerajaan Indonesia tetapi ramai yang sangsi sama ada projek yang dibiayai oleh dana dari China ini akan menjadi kenyataan.

"Tunggu kenyataan rasmi dari Presiden Indonesia, SBY," kata Hasbulah ketika dihubungi melalui telefon.

Jika benar jambatan dari Melaka ke Dumai akan dibina, ia memudahkan rakyat kedua negara memandu sendiri kereta ke destinasi mereka di Malaysia atau Sumatra.

Kita bukan sahaja mahu jambatan dari Langkawi ke Kuala Perlis dan Melaka ke Dumai menjadi kenyataan, malah suatu hari nanti mungkin jambatan dari Johor Bharu ke Sarawak dapat dibina.