Khamis, Julai 29, 2010

TDMB LABUR RM120 JUTA BINA KMC BARU


Apakah kerajaan Terengganu melalui anak syarikatnya TDM hanya melihat keuntungan apabil melabur bagi membina pusat perubatan terbesar di Pantai Timur, Kuantan Medical Centre (KMC), di Bandar Indera Mahkota,Kuantan?

Dan kenapa pula di Kuantan, bukan di Terengganu?

Memang benar KMC bagi tujuan pelaburan dan perniagaan. Tetapi bagi pelaburan dan perniagaan, di mana pun tidak penting asalkan pulangannya dirasai oleh rakyat Terengganu.

TDM Berhad yang setiap tahun membuat keuntungan dan menyerahkan zakat kepada kerajaan negeri, kini adalah anak syarikat paling aktif melakukan ‘tanggungjawab sosial’.

TDM Berhad melabur RM120 juta bagi tujuan membina pusat KMC yang baru itu.

Namun, menurut Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, kerajaan Terengganu memberi jaminan, KMC sebagai pemain industri kesihatan akan tetap menjalankan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

"Saya yakin pihak pengurusan KMC akan sentiasa menyediakan perkhidmatan terbaik dan menjalankan tanggungjawabnya kepada orang ramai yang memerlukan," katanya.

Soal di mana tidak penting tetapi hasilnya akan dinikmati oleh rakyat Terengganu dalam pelbagai bentuk.

Ahmad Said, berkata Kerajaan Terengganu berterima kasih dengan sokongan Kerajaan Pahang yang memberi peluang kepada TDM meluaskan pelaburan ke negeri itu dalam usaha memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat.

Setidak-tidaknya rakyat dua negeri dapat berkongsi kemudahan itu.

“Kita berharap dengan bangunan baru ini pesakit berasa lebih selesa dengan peralatan yang lebih baik dan canggih selain tambahan pakar perubatan dalam pelbagai bidang yang akan diambil untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pesakit, “ kata beliau pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek bangunan baru KMC di Kuantan, petang kelmarin ( 27 Julai).

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi TDM Bhd, Datuk Senator Roslan Awang Chik.

Katanya, keperluan membina bangunan baru berikutan kedudukan bangunan KMC yang sedia ada terletak di pusat bandar Kuantan tidak begitu kondusif serta kelengkapan yang semakin terhad berbanding permintaan tinggi pesakit.

KMC yang mula beroperasi sejak 1997 memiliki 84 katil termasuk tiga unit rawatan rapi dan 18 pakar perunding.

Hospital baru tujuh tingkat dibina atas tapak seluas 4.3 hektar bakal dilengkapi kemudahan teknologi perubatan tercanggih dan siap pada 2012 sebelum beroperasi pada awal 2013.

KMC yang akan dilengkapi 150 katil berdasarkan konsep bilik individu dengan 10 katil untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tujuh dewan bedah.

Jelas beliau, dengan pembinaan hospital tujuh tingkat di tanah seluas 4.3 hektar itu, KMC akan meningkatkan bilangan pakar perunding dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.

Sejajar dengan hasrat Kerajaan Terengganu yang mengutamakan aspek perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dengan menyediakan peruntukan yang besar untuk tujuan itu, usaha ini akan menggerakkan lagi pembiayaan pengajian 150 pelajar anak Terengganu ke luar negara bagi mengikuti pengajian dalam jurusan perubatan.

“Sebahagian pelajar yang kita hantar belajar perubatan akan ditawarkan berkhidmat dengan KMC atau mana-mana pusat perubatan negeri selepas mereka menamatkan pengajian nanti.

“Apabila sudah ramai doktor yang dapat kita lahirkan nanti, pastinya keperluan untuk doktor wanita merawat pesakit wanita sahaja dan lelaki merawat pesakit lelaki dapat kita lakukan,” katanya.

(dipetik dari teganuku.blogspot.com)