Jumaat, Julai 16, 2010

SUAMI WANITA TERTUA DIBEBAS


Selepas setahun ditahan di pusat pemulihan, Mohd Noor Che Musa, suami wanita tertua di Terengganu, semalam dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

Mohd Noor, 39, yang ditahan pada 7 Julai tahun lepas dibebaskan selepas ditahan di pusat pemulihan itu selama 12 bulan lapan hari. Namun kelibat isteri kesayangannya Wook Kundor, 108, tidak kelihatan di pusat pemulihan itu pada saat suaminya dibebaskan.

Kisah cinta unik pasangan yang mempunyai perbezaan umur yang jauh itu pernah menggemparkan negara dan mendapat perhatian media.

Mohd Noor ketika ditemui berkata program di Puspen banyak mengajarnya menjadi seorang insan yang bertanggungjawab dan mengubah dirinya menjadi insan yang bebas dari dadah.

"Saya kini mampu menilai diri sendiri secara positif dan lebih yakin untuk menghadapi hidup di masa depan bersama isteri kesayangan saya Wook.

"Saya juga amat menyesal apabila sentiasa mengabaikan solat dan jarang membaca Al-Quran sebagaimana yang dinasihati oleh Wook sehingga saya terjebak dengan dadah sebelum ini," katanya.

Mohd Noor berkata dia kini ingin segera pulang ke Kampung Beris Bachok, Kelantan untuk bertemu isteri kesayangannya itu, yang ketika ini berada di rumah keluarganya di sana.

"Saya asyik terkenangkan Wook dan bimbang akan kesihatannya. Saya perlu pulang segera untuk melihat keadaan isteri saya," katanya.

Mohd Noor berkata dia juga merancang untuk mengadakan majlis kenduri doa selamat di kediaman mereka di Kuala Berang dalam waktu terdekat setelah berbincang dengan isterinya.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Mohd Noor berkata dia bercadang untuk tinggal di pondok di Kelantan bersama Wook untuk mendalami ilmu agama.

"Saya harap masyarakat akan dapat menerima saya semula," katanya.

Sementara itu Komandan Puspen Besut Rohayu Ahmad berkata sepanjang ditahan di pusat itu, Mohd Noor berkelakuan baik dan tidak pernah melanggar disiplin.

(dipetik dari teganuku.blogspot.com)