Rabu, Mei 05, 2010

JANGAN SAMAKAN LIM DENGAN UMAR ABDUL AZIZ


Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional hari ini meminta supaya pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak disamakan dengan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz kerana ia menyentuh senstiviti umat Islam.

Shabudin Yahya (BN-Permatang Berangan) berkata Umar adalah seorang pemimpin yang disanjungi umat Islam kerana akidah, ibadah dan keperibadiannya.

"Kalau nak guna nama Abraham Lincoln atau Nelson Mandela, guna lah," katanya ketika membahaskan Usul Terima Kasih Ucapan yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Beliau berkata ciri-ciri kedua-dua pemimpin itu tidak sama dan jika secara berterusan mereka disamakan ia akan melukakan hati umat Islam.

"Ciri-ciri mereka tak sama, jadi boleh timbul sensitiviti dan kemarahan yang tidak boleh diubati," katanya.

Kenyataan Shabudin menyebabkan R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima) tidak berpuas hati dan bangun membantah teguran Adun Permatang Berangan itu.

"Kenyataan yang dibuat (oleh Shabudin) seolah-olah Ketua Menteri tidak layak dibandingkan dengan orang itu (Khalifah Umar)," katanya.

Shabudin kemudiannya menjelaskan bahawa beliau hanya menyuarakan ketidakpuasan hati umat Islam yang meminta perkara itu disampaikan kepada kerajaan negeri.

Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain kemudiannya menjelaskan bahawa Lim hanya menjadikan cara pemerintahan Umar sebagai contoh untuk mentadbir negeri.

"Tiada perbandingan antara Ketua Menteri dan Umar. Saya akan minta Ketua Menteri jawab," katanya.