Sabtu, Mac 20, 2010

SYUKURLAH DAPAT SAMBUT HARIJADI


Hari ini genap usia saya, 51 tahun. Syukurlah saya masih dapat bernafas di bumi Allah ini.Pagi ini jam 8 saya bertolak ke Kuantan menemui rakan lama, Drs. Kamaruzaman Zainal.

Sudah lama saya tidak temuinya. Kami pernah bekerja sebumbung dahulu di akhbar WATAN pada tahun 1987. Kini beliau adalah kontraktor maintainance di sebuah ladang di Pahang. Sudah lama beliau menduda. Kini beliau ada teman baru berusia 23 tahun bernama Shidah. Inilah kelebihan Drs. Kamaruzaman yang sebaya dengan saya dapat bakal isteri yang sebaya dengan anak sulungnya.

Menilai kembali 51 tahun lalu, saya bersyukur dengan apa yang dianugerahi Allah walaupun apa yang saya lalui sekarang tidaklah stabil mana. Jika saya tidak berhenti kerja dengan FELCRA pada tahun 1986, mungkin saya kini adalah Naib Presiden FELCRA bersama rakan-rakan seangkatan seperti Jahare Abu Bakar, Haji Ahmad Shaari dan sebagainya. Tetapi tak ada rezeki saya di FELCRA. Jika tidak sudah 27 tahun saya bersama FELCRA.

Selepas berhenti dengan FELCRA, saya menyertai akhbar WATAN sebagai wartawan. Saya dilantik menjadi penolong editor akhbar WATAN dalam usia yang muda, 27 tahun pada tahun 1988 setelah akhbar WATAN yang dibatalkan permit beroperasi semula. Dengan akhbar itu saya dapat mengenali Sabah apabila dilantik sebagai wakil akhbar WATAN di Sabah pada tahun 1989-1991.

Bila ada akhbar, semua orang politik hormati dan cari kita. Bila sudah tidak jadi wartawan, tiada siapa yang peduli.Itulah nasib wartawan. Sekarang sebagai blogger, kini saya bebas menulis tentang apa saja.Oleh itu sempena harijadi saya yang ke 51 ini, saya akan terus menulis melalui blog ini.