Rabu, Disember 09, 2009

SENATOR WAKILI OKU AKAN DILANTIK


Kerajaan mencadangkan seorang calon senator daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dilantik menjadi Ahli Dewan Negara bagi menggantikan tempat Allahyarham Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh, demikian Dewan Negara diberitahu Rabu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata senarai beberapa calon dari kalangan OKU akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan.

"Insya-Allah kita akan hantar senarai calon ini kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk pertimbangan sewajarnya," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed pada persidangan Dewan Negara di sini.

Saripah bertanya mengenai adakah kementerian akan mengesyorkan seorang calon daripada kalangan OKU untuk menjadi senator berikutan kematian Ismail, 61, akibat serangan jantung semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura pada 27 Ogos lepas.

Ismail, seorang pakar ekonomi, yang cacat penglihatan semenjak 13 tahun, merupakan calon pertama OKU yang menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan mencipta sejarah sebagai Senator pertama dari kalangan OKU di negara ini.