Isnin, Disember 21, 2009

KELAB PERKASA DI LUAR NEGARA


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan menubuhkan Kelab Perkasa khusus buat penuntut Malaysia yang sedang belajar di luar negara mulai tahun depan, kata Presidennya Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata penubuhan kelab itu akan dimulakan selepas Perkasa mengadakan mesyuarat agung tahunannya yang dijadualkan pada Mac 2010.

"Selepas itu Kelab Perkasa akan ditubuhkan di United Kingdom, Mesir, dan Indonesia, yang kemungkinan akan berpusat di Bandung dan di Melbourne, Australia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Perkasa Negeri Perak di Dewan Utama UiTM Perak di sini pada Sabtu yang disempurnakan oleh bekas Menteri Pertanian Tan Sri Sanusi Junid.

Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas berkata ketika ini Perkasa sedang menumpukan penubuhannya di peringkat negeri yang bakal melibatkan pelancaran di Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Melaka selepas pelancaran di Perak.