Jumaat, Oktober 16, 2009

UMNO DIMINTA TUBUH YAYASAN


Umno diminta menubuhkan sebuah yayasan dikenali Yayasan Umno bagi memberi bantuan kewangan kepada anggotanya untuk tujuan pendidikan dan kesihatan.

Semasa membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno di sini hari ini, wakil Pulau Pinang Datuk Shabudin Yahaya berkata walaupun kini terdapat banyak yayasan di negara ini tetapi kesemuanya adalah atas nama individu atau kumpulan tertentu dan tidak beroperasi dengan nama Umno.

“Kita mahu yayasan yang berjenama Umno supaya parti kita kekal relevan, barulah kewujudan Umno akan sampai ke bawah dan tetap diterima oleh rakyat.

"Selama ini kita telah berkhidmat kepada orang yang susah dengan cukup baik, tetapi rupa-rupanya orang kita sendiri kita lupa. Sebab itu kita perlukan sebuah yayasan untuk membantu ahli-ahli Umno sendiri,”katanya.

Beliau berkata dengan cara itu, Umno dapat mengagihkan nikmat sampai ke bawah, dan secara tidak langsung akan menyentuh hati rakyat.

Shabudin turut mencadangkan agar Umno mendekati agamawan, dan jika sekiranya perlu, mewujudkan Dewan Ulama Umno bagi menjawab isu-isu tertentu.

Pada masa ini, katanya, apabila timbul isu, agensi rasmi agama mengambil jalan selamat dan tidak menolong untuk menjawab. Beliau juga berharap Umno memanfaatkan sepenuhnya media alternatif yang ada dan meramaikan blogger bagi menangkis dan menghapuskan doktrin kebencian yang ditimbulkan oleh pembangkang terhadap Umno.